Perodua Bezza menanti pengunjung bertuah KIAM’23
PAYA RUMPUT 28 Disember – Pengunjung bertuah yang singgah ke Karnival Islamik Antarabangsa Melaka Tahun 2023 (KIAM’23) bermula hari ini hingga 1 Januari 2024 berpeluang memandu pulang sebuah Produa Bezza.
Pengarah Program KIAM’23, Murad Ahmat berkata pemenang bertuah akan diumumkan pada malam penutup KIAM’23 bertempat di pentas utama Stadium Hang Jebat, pada hari terakhir penganjuran karnival itu.
Katanya, nama pemenang bertuah itu akan dicabut secara langsung oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada malam tersebut.
“Untuk cabutan bertuah, semua pengunjung berpeluang untuk sertainya, tiada sebarang syarat atau bayaran dikenakan. Sesiapa yang ingin menyertai hanya perlu mengisi borang dan masukkan ke dalam kotak yang disediakan, terbuka kepada semua golongan usia.
“Selain kereta, kami juga menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk pengunjung bawa pulang sepanjang KIAM’23,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Murad yang juga Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkata, dianggarkan 100,000 pengunjung akan singgah ke KIAM’23 sepanjang lima hari penganjurannya.
“Saya harap rakyat Melaka khususnya akan hadir memeriahkan KIAM’23 yang bakal menjanjikan pelbagai pengisian ilmu sebagai santapan rohani dan jasmani sempena tahun baharu nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.