Pernikahan, walimatulurus mualaf bukti keprihatinan Kerajaan Negeri 

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 2 Jun – Kebajikan saudara Muslim di negeri ini sentiasa diberikan prihatian oleh Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) termasuk menerusi Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Mualaf yang dianjurkan secara tahunan.

Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Rahmad Mariman berkata, saban tahun ruang dan peluang diberikan kepada saudara baru yang kini lebih dikenali sebagai saudara Muslim untuk melangsungkan perkahwinan bersama-sama.

“Ini menunjukkan bahawa komitmen Kerajaan Negeri Melaka khususnya MAIM bersama agensi berkaitan lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) sentiasa prihatian dan mengambil berat terhadap kebajikan saudara Muslim.

“Untuk makluman pada tahun lalu 30 pasangan pengantin saudara Muslim diijabkabulkan dan bagi siri pertama tahun 2024 iaitu kali ini tujuh pasangan melangsungkan perkahwinan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pernikahan dan Walimatulurus Mualaf Negeri Melaka Siri I Tahun 2024M, di Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad; Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis dan Pegawai Tugas-Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, penganjuran perkahwinan mualaf beramai-ramai ini bukanlah bertujuan keagamaan semata-mata, sebaliknya memupuk keharmonian dalam masyarakat.

“Ia bukanlah semata-mata untuk tujuan keagamaan tetapi lebih bermatlamat saling belajar dan memahami antara satu sama lain bagi memupuk keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat.

“Selain itu, turut diharapkan majlis seumpama ini akan dapat mewujudkan suasana yang menjurus kepada semangat muhibbah yang dapat memperkukuhkan perpaduan serta kedamaian,” katanya.

Sementara itu, Rahmad turut mengingatkan kepada pasangan pengantin agar memupuk rasa tanggungjawab, hormat-menghormati dan rasa kasih sayang kerana ia kunci kepada kebahagiaan serta keharmonian dalam rumah tangga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

139
Kongsi :
Previous post Melaka Bila Larut Malam: Pengunjung puas, teruja, seronok
Next post Lebih 136,000 serbu Banda Hilir sempena cuti sekolah
Ubah saiz-+=