Perniagaan merosot lebih 50 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

 

C.K Teo menunjukkan tiram bakar yang menjadi keistimewaan di gerainya.

BANDA HILIR 29 Julai – Penularan pandemik Covid-19 nyata memberi kesan buat peniaga-peniaga di Jalan Jonker, di sini, apabila hasil jualan merosot lebih 50 peratus.

Hal ini diakui peniaga air kelapa lambung, Nur Fatimah Abdullah, 52, yang memaklumkan perniagaannya tidak seperti dahulu apabila gerainya mula dibuka pada Julai.

Katanya, antara faktor menyumbang kemerosotan itu adalah kerana pihaknya tidak dibenarkan membuat pertunjukan kelapa lambung untuk mengelakkan orang ramai berkumpul

“Bila tak boleh lambung kelapa memang hilang seri. Bila tiada pertunjukan kita dapati orang kurang berminat membeli, tak seperti sebelum ini.

“Tapi nak buat macam mana, kerajaan tidak benarkan orang ramai berkumpul dan kami terpaksa ikut prosedur operasi standard (SOP) untuk teruskan kelangsungan.

“Boleh dikatakan perniagaan kami merosot lebih 50 peratus berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Jalan Jonker, baru-baru ini.

Nada sama turut disuarakan peniaga makanan laut, Chee Kong Teo, 54 yang sudah berniaga di tapak berkenaan sejak lebih 10 tahun.

Menurutnya, jika sebelum ini, jualannya mampu mencecah RM1,000 untuk satu malam, namun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualannya hanya sekitar RM400 sahaja.

“Bila musim hujan lagi teruk. Memang kami terpaksa tutup awal sebab pelancong pun tak ada.

“Memang sangat-sangat terkesanlah selepas PKP, tapi nak buat macam mana? Kalau kami tak berniaga, kami langsung tiada sumber pendapatan,” ujarnya.

Sementara itu, peniaga kuih keria gula Melaka, Najwa Abu Hassan menyuarakan harapan agar pandemik Covid-19 segera berlalu pergi, bagi membolehkan perniagaannya kembali seperti biasa.

“Jujur saya katakan perniagaan terlalu perlahan. Kalau dulu kami boleh habiskan tiga ke empat dulang (kuih keria), tetapi sekarang hanya boleh habiskan satu atau dua dulang sahaja.

“Kita berharap orang ramai agar patuhlah kepada SOP yang ditetapkan kerajaan bagi membolehkan kita menang menentang pandemik ini.

“Bila semuanya sudah selesai, barulah perniagaan kami boleh kembali seperti biasa,” katanya.

Dalam tinjauan Melaka Hari Ini pada Jumaat mendapati Jalan Jonker tidak ‘semeriah’ dahulu apabila bilangan pengunjung turun mendadak.

Ia mungkin bertitik-tolak daripada ketiadaan pelancong luar negara serta arahan tidak membenarkan kanak-kanak masuk ke kawasan itu.

Bagaimanapun, boleh dikatakan semua peniaga mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dan kelihatan ada penjaga mengawal pintu masuk bagi merekodkan kehadiran pengunjung di kawasan tumpuan itu.

Views:

346
Kongsi :
Previous post Komuniti Kampung Chetti sahut cabaran 1 Rumah 1 Bendera
Next post Lanjutan moratorium tiga bulan bagi individu kehilangan pekerjaan
Ubah saiz-+=