Permohonan pengambilan pekerja asing secara dalam talian tidak lama lagi
Dalam satu kenyataan hari ini, Saravanan berkata beliau akan membuat pengumuman mengenai tarikh permohonan dalam talian itu boleh dibuat, dalam masa terdekat.
“Dalam hal ini, saya ingin menasihatkan pihak majikan agar tidak membuat sebarang pembayaran melalui orang tengah atau pihak ketiga bagi tujuan mempercepatkan proses permohonan tersebut, untuk mengelakkan daripada berlakunya penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Dis 2021 bersetuju pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor selain daripada sektor perladangan, iaitu pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan serta perkhidmatan domestik.
Saravanan turut mengingatkan majikan yang ingin menggajikan warga asing agar mengemukakan permohonan sendiri dan berdasarkan kepada keperluan sebenar pekerja asing.
Majikan yang menggunakan khidmat agensi pekerjaan swasta juga perlulah memastikan bahawa agensi tersebut berdaftar dan mempunyai lesen yang diperakui oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, katanya.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa semua kemasukan pekerja asing perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 pada 14 Disember 2021.
SOP tersebut merangkumi empat fasa iaitu prapelepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan iaitu tempoh kuarantin dan pascakuarantin. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.