Permintaan tinggi jenama tertentu tepung gandum punca kekurangan bekalan – Nanta
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran seperti yang dilaporkan media ketika ini adalah disebabkan jenama tertentu mendapat permintaan tinggi dan bukan disebabkan tindakan India menyekat eksport gandum ke pasaran global.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata negara hanya mengimport 15 peratus bekalan gandum dari India, Amerika Syarikat dan Ukraine manakala selebihnya adalah dari Australia.
“Kalau ada gangguan bekalan mungkin sebab permintaan tinggi bagi sesuatu jenama dan disebabkan itu ia cepat habis. Buat masa ini kita tidak kesan lagi kekurangan gandum di pasaran, kita tidak terima aduan secara langsung kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Kita dapat maklumat dari media dan kita siasat seperti di Melaka terdapat kes terpencil sahaja dan bukannya menyeluruh (seluruh negara),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Salam Aidilfitri 2022 Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini, semalam.
Beliau turut menjelaskan setakat ini kekurangan bekalan tepung gandum tidak dilihat sebagai kritikal namun pihaknya terus membuat pemantauan berterusan.
Dalam pada itu, Nanta menjelaskan sekiranya terdapat peningkatan harga tepung gandum ia bukan daripada bekalan yang bersubsidi kerana tepung gandum bersubsidi kekal pada kadar RM1.35 sen bagi satu kilogram.
Katanya negara mencatatkan penggunaan tepung gandum bersubsidi sebanyak 100,000 tan metrik setahun manakala yang tidak bersubsidi sekitar 192,959 tan metrik.
Nanta juga berkata peniaga yang didapati mencatu bekalan tepung berdepan dengan tindakan undang-undang berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Katanya KPDNHEP akan memperkenalkan satu inisiatif bagi memudahkan pengguna mengenal pasti produk bersubsidi di pasaran, sekali gus mengelakkan peniaga menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.