Permintaan terhadap lemang meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat
RAMLI menyusun lemang dijualnya bagi menambah pendapatan keluarga. Foto Din Ahmad

TANJUNG BIDARA 1 Ogos – Aidiladha memberikan keceriaan kepada pengusaha lemang kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang memberi peluang kepada mereka menikmati permintaan melonjak dua kali ganda berbanding Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika Aidilfitri Mei lalu.

Kelonggaran diberikan kerajaan sepanjang PKPP sehingga 31 Ogos depan membolehkan mereka memperoleh pesanan untuk mendapatkan lemang lebih tinggi berbanding sebelum ini.

Bagi Ramli Naaman, 63, peluang untuk mendapatkan peningkatan permintaan hadir seminggu sebelum Aidiladha dengan kebanyakan pelanggan membuat pesanan melalui laman sosial anaknya, Aisyah, 19.

“Alhamdulillah, seminggu menjelang Aidiladha anak saya menerima pesanan untuk mendapatkan lemang lebih baik berbanding Aidilfitri lalu kerana Aidiladha disambut ketika PKPP dilaksanakan dan ia memberi peluang untuk orang ramai mengunjungi sanak saudara.

“Begitu juga dengan jumlah mereka yang di perantauan yang pulang menyambut Aidiladha di kampung yang menyebabkan permintaan terhadap lemang meningkat,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Tinggi, Masjid Tanah di sini semalam.

Beliau berkata, jika pada Aidilfitri lalu permintaan terhadap lemang hanyalah sekitar 100 batang, kali ini beliau terpaksa berhempas pulas untuk menyiapkan 300 batang lemang diminta pelanggan.
Katanya, kebanyakan permintaan itu datang daripada perantau yang pulang ke kampung untuk menyambut Aildiladha selepas tidak berpeluang berbuat demikian pada Aidilfitri lalu.
Beliau berkata, kebanyakan pelanggan meminta lemang berharga R12 berbanding RM10 dan RM15 yang turut ditawarkannya kerana lemang bersaiz sederhana pada harga RM12 lebih ekonomik berbanding kedua-dua harga berkenaan.
“Lemang berharga RM15 diminta pelanggan yang mempunyai keluarga besar, sesuai dengan bilangan anggota keluarga seumpama itu berbanding lemang bersaiz kecil,” katanya.
Untuk tujuan itu, Ramli dan anggota keluarganya terpaksa bertarung dengan asap dan api untuk membakar lemang selama empat jam sebelum membuat penghantaran kepada pelanggan dan mengenakan bayaran semasa penghantaran (COD) bagi pelanggan yang jauh dari kampung itu.

Views:

492
Kongsi :
Previous post ‘V Run For Fund’ bantu kutip dana TAM Melaka
Next post Pengagihan daging korban secara pandu lalu
Ubah saiz-+=