PERMINTAAN KEDIAMAN MEWAH DI MELAKA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Oktober – Selain tersohor sebagai destinasi pelancongan popular, sektor hartanah termasuk kediaman mewah berharga jutaan ringgit turut menjadi tumpuan pembeli tidak kira sama ada bagi mereka yang mencari kediaman impian atau pelaburan jangka panjang.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pasaran hartanah Negeri Melaka terbukti mendapat permintaan yang tinggi apabila kediaman berharga RM1.3 juta sedang dalam fasa pembinaan sudah ditempah pembeli.

“Ketika ini di Melaka pemaju sudah mula membina unit kondominium mewah berharga RM790,000 dengan keluasan 1,200 meter persegi yang kebiasaannya terdapat di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Perkembangan ini menunjukkan rakyat Negeri Melaka kini meraih pendapatan yang baik dalam suasana ekonomi yang subur,” katanya ketika ditemui pada Ekspo Perumahan Dan Hartanah Negeri Melaka (MAPEX) di sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir, baru-baru ini.

Rais berkata, segmen kediaman mewah yang semakin mendapat permintaan menunjukkan Melaka menawarkan pelbagai variasi hartanah.

Menurutnya, pada masa yang sama Kerajaan Negeri tetap memberikan tumpuan kepada rumah mampu milik (RMM) selain hartanah jenis lain.

“Malah untuk RMM kita masih berada di landasan apabila sejak 2020 hingga 2024 sebanyak 7,680 unit RMM telah dibina,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri yakin dan percaya, dengan kolaborasi yang ada diantara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan pemaju swasta, sasaran untuk membina lebih banyak RMM di negeri ini dapat dilaksanakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

185
Kongsi :
Previous post ANAK-ANAK INDONESIA BELAJAR SEJARAH MELAKA
Next post HAMPIR 4,000 TEBUS TIKET PERCUMA MENARA TAMING SARI
Ubah saiz-+=