Permaisuri Agong berkenan tinjau situasi banjir di Dengkil

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DENGKIL, 19 Dis – Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan meninjau situasi mangsa banjir di persekitaran kawasan ini.

Seri Paduka tiba di lokasi banjir pada 5.10 petang sebelum berkenan menaiki bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk meninjau keadaan mangsa yang masih terkandas akibat banjir.

Selepas hampir sejam meluangkan masa menyantuni mangsa banjir, Seri Paduka menitahkan anggota keselamatan untuk membawa keluar mangsa banjir yang masih terkandas dalam rumah mereka dengan secepat mungkin.

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan meninjau situasi mangsa banjir di persekitaran kawasan Dengkil. Foto Facebook rasmi Istana Negara.

Raja Permaisuri Agong diiringi Brig Jen Datuk Mohamed Zahari Yahya, yang merupakan Juruiring Tentera Udara Diraja Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama Datuk Ahmad Razali.

Dengkil hampir lumpuh setelah dilanda bah sejak semalam dengan paras air masih belum surut sehingga 6 petang tadi.

Berikutan itu, penduduk di kawasan ini diarah meninggalkan rumah masing-masing kerana dikhuatiri paras air terus meningkat ekoran ketidaktentuan cuaca.

RAJA Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan meninjau situasi mangsa banjir di persekitaran kawasan Dengkil. Foto Facebook Istana Negara

Beberapa kawasan perumahan dan kedai dilanda banjir dengan paras air meningkat sehingga paras leher.

Para penduduk Dengkil menggambarkan bencana banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 1971. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Taman Emas, Taman Permata, Taman Baiduri, Taman Kristal, Taman Mutiara dan Taman Desa.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2322
Kongsi :
Previous post Banjir: Ban pecah antara punca Lubok China tenggelam-EXCO
Next post 32 selamat, tiga masih hilang dalam kejadian banjir lumpur di Bentong
Ubah saiz-+=