Permainan video antara punca buli meningkat
SERI NEGERI 31 Julai – Pengaruh permainan video termasuk menerusi platform atas talian dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada gejala buli yang berlaku di sekolah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, terpengaruh dengan aksi ganas dalam permainan video menyebabkan kanak-kanak cenderung untuk melakukan buli.
“Pengaruh permainan video termasuk di medial sosial hingga mendorong kepada perlakuan buli ini agak tinggi berbanding faktor lain seperti masalah mental.
“Permainan video ini memberi pengaruh buruk kepada anak-anak kita, ia memberi kesan negatif kerana unsur keganasan itu akan mempengaruh mereka untuk melakukan keganasan kepada golongan yang lemah.
“Ibu bapa diminta mengawal perkara ini disebabkan daya pemikiran mereka mudah terpengaruh,” katanya pada sidang media Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Melaka ke-15 di Dewan Undangan Negeri, Seri Negeri, di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat Jun lalu 28 kes buli telah dilaporkan di negeri ini yang membabitkan 51 orang anak sekolah.
Menurutnya, beberapa tindakan telah dilaksanakan antaranya amaran, amaran lisan, gantung sekolah, rotan dan dibuang sekolah.
“Setakat ini 11 orang telah dikenakan tindakan amaran, manakala lima amaran lisan, lapan dibuang sekolah, 15 digantung sekolah dan rotan seramai 18 orang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.