Permainan ‘RPG’ ilham empayar Kesultanan Melayu Melaka bakal jadi fenomena

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BANDA HILIR 25 Jun – Keagungan empayar Kesultanan Melayu Melaka menjadi ilham dan pencetus buat sekumpulan anak muda tempatan mencipta sebuah permainan video ‘Role-Playing Game'(RPG).

Dinamakan ‘Empayar: The Melaka Chronicle’, permainan itu mengambil konsep permainan pengembaraan dan pemilihan karakter pahlawan Melayu, sekali gus bakal menjadi permainan RPG pertama berdasarkan sejarah yang akan diperkenalkan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Univrse Interactive Sdn. Bhd., Mohd Hezri Amir Abdul Latif, 37, berkata, permainan yang bakal dilancarkan di aplikasi telefon pintar tidak lama lagi itu mampu mengangkat kembali sejarah Melaka sebagai sebuah kota tersohor suatu ketika dahulu kepada generasi muda.

Katanya, permainan RPG yang diperkenalkan merupakan sebuah permainan penjelajahan karakter yang dicipta dan mengguna pakai peta seperti dalam Kota Melaka suatu masa dahulu.

“Pemain perlu mempunyai satu karakter di dalam permainan ini untuk mengembara menggunakan peta yang diilhamkan sepenuhnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Ia juga menyentuh beberapa penekanan tradisi dan budaya masyarakat Melayu seperti ilmu persilatan dan sebagainya dalam permainan ini.

“Permainan ini dicipta oleh pelajar lepasan universiti tempatan bagi memartabat industri e-Sukan negara dan boleh dimuat turun di mana-mana aplikasi ‘App Store’ dan ‘Play Store’ dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancarannya pada Karnival ICT dan Inovasi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di Memorial Perisytiharan Kemerdekaan, di sini, baru-baru ini.

Pelancaran itu telah disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman serta tetamu lain.

Whatsapp Image 2024 06 24 At 19.57.03
REKAAN grafik yang dihasilkan mengambil ilham sepenuhnya gambaran Kota Melaka suatu masa dahulu.

Mengulas lanjut, Mohd Hezri Amir berkata, permainan itu dicipta hasil kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri menerusi MBMB bersama syarikat Illogical Sdn. Bhd., Studio Kembara dan Luncai Emas.

Menurutnya, ia diperkenalkan selepas melihat kejayaan dan sokongan rakyat Malaysia terhadap filem Mat Kilau yang mencetus fenomena sehingga mendorong sekumpulan anak muda memperluaskan keagungan Melayu dalam permainan tersebut.

“Dalam tempoh setahun kita mampu mencapai hasrat ini dan dilaksanakan berdasarkan beberapa kajian berkaitan zaman Kesultanan Melayu Melaka.

“Kesemua rekaan grafik yang dihasilkan mengambil ilham sepenuhnya pada Kota Melaka seperti gambaran istana yang terletak di Bukit Melaka, jambatan yang menghubungkan sungai-sungai serta pelabuhan yang ada pada zaman itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

442
Kongsi :
Previous post Transformasi digital ubah nasib peniaga sate bahu jalan
Next post 3,000 pekerjaan menanti pencari kerja Julai ini
Ubah saiz-+=