PERMAINAN LEGO CETUS KREATIVITI ADIK RAYYAN HASILKAN REPLIKA MENARA TAMING SARI

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 25 September – Siapa sangka bermula dengan minat dalam permainan lego, murid Darjah 5 ini mendapat inspirasi untuk menghasilkan sebuah replika unik mirip menara ikonik Negeri Melaka.

Muhammad Rayyan Anaqhi Mohd Ariffin yang baru berusia 11 tahun, hanya mengambil masa dua hari untuk mencipta replika Menara Taming Sari untuk pertandingan Hari Kebangsaan 2024 yang dianjurkan sekolahnya, sebelum diumum sebagai johan.

Dia yang merupakan murid Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al Faizin, Alor Gajah menjadi tular di aplikasi TikTok apabila videonya menghasilkan replika menara itu menjadi tular dan mendapat pujian warga maya.

“Saya memang minat dalam reka cipta kerana saya sering menonton video berkaitan robotik, selain minat bermain lego sejak kecil.

“Ayah banyak memberi sokongan dan membantu saya sehingga terhasilnya replika Menara Taming Sari ini dan alhamdulillah ia dinobat johan replika di sekolah saya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Muhammad Rayyan menerima penghargaan dan pengiktirafan daripada Menara Taming Sari Berhad (MTSB) di atas kreativitinya mencipta replika berkenaan sehingga tular di platform media sosial.

Penghargaan berupa sijil, plak dan wang tunai itu disampaikan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan bersempena Kembara Hari Malaysia di perkarangan Menara Taming Sari, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, ibunya, Muzainah Mohammad berkata, dia dan suami Mohd Ariffin Mohd Sokher tidak menyangka niat memberi sokongan kepada anak berakhir dengan satu pengiktirafan yang cukup istimewa bagi mereka sekeluarga.

“Kami memang tidak meletak harapan untuk menang kerana Rayyan masuk pertandingan itu hanya untuk suka-suka dan replika itu hanya dihantar pada hari terakhir.

“Namun, kami bersyukur kerana sudah tertulis rezeki untuknya dan diharap kejayaan serta pengiktirafan ini dapat memberi suntikan semangat untuk anak kami terus berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

165
Kongsi :
Previous post ROGOL ANAK OKU, BAPA KEKAL DIPENJARA 25 TAHUN, 10 SEBATAN
Next post HANGOUT @DURIAN TUNGGAL JADI TARIKAN BAHARU
Ubah saiz-+=