PERMAI hadir tepat pada masanya – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 19 Jan. – Pakej bantuan tambahan, Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan hadir tepat pada masanya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, pihak kerajaan negeri menyambut baik langkah tersebut, berikutan ia diyakini dapat membantu dalam menjamin kehidupan rakyat dan kelangsungan aktiviti ekonomi serta perniagaan rentetan penularan wabak COVID-19.

Menurut beliau, kehidupan rakyat di Melaka dan seluruh negara amnya begitu terkesan selepas berlakunya peningkatan kes positif daripada penularan wabak COVID-19 sehingga menyebabkan Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh negara, yang berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021, selain turut melaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di beberapa negeri dan daerah tertentu termasuk di seluruh Melaka sendiri.

“Kedua-dua keadaan itu telah menyebabkan kehidupan rakyat khususnya di Negeri Melaka begitu terkesan, manakala aktiviti ekonomi dan kegiatan perniagaan terutama yang berkaitan dengan sektor pelancongan di Melaka telah terjejas dengan teruk.

“Diharap dengan pengumuman pakej bantuan terbaharu itu, ia dapat membantu meringankan bebanan rakyat, selain menjamin kelangsungan aktiviti ekonomi dan kegiatan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Sulaiman turut mengalu-alukan bantuan sekali bayar (one-off) kepada golongan rakyat, termasuk yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan yang cukup sinonim dengan Melaka.

“Misalnya, bantuan one-off RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, pemandu bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing, diharapkan dapat membantu golongan terbabit.

“Bagi pihak Kerajaan Melaka, saya amat berharap agar pengayuh beca yang terlibat secara langsung dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri, juga dapat dipertimbangkan untuk diberikan bantuan yang sama, seperti pemandu pelancong dan sebagainya,” ujarnya.

Dikesempatan sama, beliau turut menzahirkan harapan agar rakyat dan komuniti perniagaan yang akan menerima manfaat langsung daripada pakej bantuan tersebut agar dapat menggunakan segala bantuan dan inisiatif yang disediakan dengan sebaik mungkin tanpa menyalahgunakannya.

Views:

540
Kongsi :
Previous post Padah simpan minuman keras, rokok seludup
Next post APMM minta bantuan Indonesia bantu kesan dua nelayan
Ubah saiz-+=