Perluas tanaman pegaga di Asahan, bantu asnaf jana pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

ASAHAN 10 Januari – Tanaman pegaga bakal diperluaskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan khususnya asnaf menjana pendapatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, tanaman herba dan ulam-ulaman itu dipilih kerana permintaannya yang tinggi selain mampu membantu asnaf mengubah kehidupan kepada lebih baik.

“Melihat tanaman pegaga ini mempunyai potensi besar dan hanya memerlukan masa 40 hari untuk tuai jadi kita cadang ia diperluaskan dengan bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Apabila diperluaskan kelak ia akan membuka peluang kepada golongan asnaf untuk turut serta mengusahakan dan secara tidak langsung membantu mereka menjana pendapatan,” katanya.

Terdahulu beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri bersama Pegawai Tugas-Tugas Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud meluangkan masa melawat kebun pegaga diusahakan penduduk Hasrul Aswar Abu Hassan, di Kampung Jus.

Fairul Nizam berkata, pihaknya difahamkan bekalan pegaga sedia ada pada masa ini yang diusahakan di Melaka tidak dapat menampung permintaan pasaran.

“Usaha yang dilakukan ini bukan sahaja boleh membantu asnaf mengubah kehidupan tetapi membantu menampung bekalan di Negeri Melaka.

“Untuk menjayakan perancangan ini, kita akan membina bantuan dan menjadikan Hasrul Aswar sebagai mentor untuk membimbing asnaf bagi mengusahakan tanaman pegaga itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5405
Kongsi :
Previous post Pegaga kini tanaman berharga
Next post Terbit buku pantun untuk rujukan generasi baharu
Ubah saiz-+=