Sorting by

×

‘Perlu segerakan peruntukan rakyat dalam Belanjawan Melaka 2021’ – KM

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 12 Dis. – Rakyat di peringkat akar umbi perlu segera menerima semua peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan Melaka 2021 Rabu lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) sehubungan itu mengingatkan semua wakil rakyat negeri agar tidak melengah-lengahkan pemberian kepada rakyat yang layak.

“Saya mahu bajet tahun depan ini, terus sampai kepada semua rakyat Melaka yang berjumlah 932,700 orang hingga ke kelompok marhaen dan akar umbi secepat mungkin.

“Saya pohon agar 17 Ahli Yang Berhormat di sebelah sini, (kerajaan) dapat menggunakan peruntukan bajet yang diberikan untuk benar-benar ‘deliver’ kepada rakyat Melaka.

“(Perlu) sampai mereka merasai khidmat yang kita berikan dan sedikit sebanyak, dapat membantu meringankan beban hidup yang ditanggung oleh rakyat Melaka pada waktu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan penangguhan perbahasan usul Belanjawan Melaka 2021 pada hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Seri Negeri, hari ini.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata beliau turut percaya, 11 ‘rakan’ pembangkang juga akan menyampaikan bantuan rakyat di kawasan masing-masing menggunakan pemberian ‘one-off’ sebanyak RM60,000 itu, yang diumumkannya semalam.

“Walaupun jumlah RM60,000 yang diberikan kepada pembangkang tidaklah terlalu besar, namun ia setidak-tidaknya, meningkat daripada peruntukan sebelumnya.

“Walaupun 11 ‘sahabat-sahabat’ saya di seberang sana memilih untuk berkecuali dari undi menyokong Belanjawan 2021 Negeri Melaka, namun paling kurang, tidaklah sampai menolaknya.

“Ini satu permulaan yang baik. Kita akan terus mencari jalan, membina lebih banyak titik-titik persamaan di antara kita,” tambahnya.

Dalam ucapannya, beliau turut memetik ungkapan daripada Presiden Amerika Syarikat ke-16, Sir Abraham Lincoln, yang pernah menyebut tentang bagaimanakah sebuah kerajaan berkesan yang berteraskan kepada rakyat.

Sesuatu pentadbiran yang berjaya itu, katanya haruslah menjadi sebuah kerajaan berlandaskan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat untuknya takkan sesekali hilang dari muka bumi ini.

“Kerana itulah pada hari ini, saya untuk berkongsi kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, tentang tindakan 5D iaitu, Dimension, Deliver, Dynamic, Direction dan Doa, demi menuju Melakaku Maju Jaya.

“Meskipun berdepan dengan tiga cabaran besar iaitu kesihatan, ekonomi dan politik, namun kami tetap berusaha untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat,” katanya.

Ketua Menteri dalam pada itu turut mengingatkan penjawat awam supaya lebih komited, cekap dan kompeten dengan kerja yang ditugaskan.

“Walau ke mana kita ditempatkan, kita tetap mampu mengekalkan malah menambah baik produktiviti dan nilai mutu kerja yang kita lakukan.

“Sebab akhirnya, yang sama-sama saya dan kerajaan ini serta sekalian rakyat Melaka mahukan, khususnya waktu COVID-19 belum reda ini adalah, based on result oriented, yakni mencapai  Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dan tahap piawaian tertentu yang ditetapkan,” katanya.

Views:

330
Kongsi :
Previous post Operasi bas singgah-singgah dijangka bermula Januari 2021 – Exco
Next post Belanjawan Melaka 2021 bukan untuk PRU-15
Ubah saiz-+=