Sorting by

×

Perlu lebih ramai orang muda pelbagai kaum sertai KRT

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

JASIN 2 Okt – Kerajaan negeri mahu lebih ramai penyertaan orang muda dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi memastikan keberkesanan penubuhannya sebagai penggerak perubahan dalam kalangan masyarakat.

Exco Perpaduan, Datuk Wira Ar. Ismail Othman berkata, selain penglibatan lebih ramai orang muda, wakil dari kaum Cina dan India juga perlu dihebatkan agar peranannya sebagai ejen perpaduan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, fungsi dan peranan KRT sebagai ejen dan penggerak usaha menyatupadukan rakyat perlu diaktifkan dengan lebih berkesan seiring dengan keperluan semasa.

“Kita lihat sebahagian besar pemimpin dan anggota KRT ini dari dalam kalangan orang lama, jadi sebaiknya ditingkatkan penyertaan orang muda untuk sama-sama bergabung dengan pemimpin lama menggerakkan KRT di kawasan masing-masing dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau ditemui Melaka Hari Ini (MHI) selepas merasmikan program RT CARES #KitaBersama: Rukun Tetangga Prihatin, Rakyat Makmr Terjamin anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri.

Pada majlis itu sebanyak 111 kotak makanan diagihkan kepada 37 KRT di seluruh negeri dengan mensasarkan kepada golongan yang terkesan disebabkan pandemik COVID-19 terutama kumpulan B40.

Selain itu, kata Ismail, peruntukkan dana kewangan yang mencukupi telah disalurkan kepada KRT bagi mengerakkan aktiviti kemasyarakatan di kawasan masing-masing.

Pada masa yang sama, katanya, suasana pandemik yang berlangsung sejak lebih setahun ini turut menyerlahkan peranan KRT sebagai ejen perubahan masyarakat.

“Dalam suasana pandemik hari ini, kita dapati ramai rakyat yang terkesan namun tidak semua bantuan dapat sampai ke tangan golongan yang terkesan ini.

“Kita harap KRT dapat memastikan bantuan daripada kerajaan ini seperti sumbangan kit makanan JPNIN sampai ke tangan anggota masyarakat yang terkesan di kawasan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

613
Kongsi :
Previous post Dapat TV 70 inci naik Menara Taming Sari
Next post Tiga pulau di Melaka bakal diwarta Taman Laut Negara
Ubah saiz-+=