Perlu kaedah jangka masa pendek atasi banjir berulang – KM
DURIAN TUNGGAL 21 Okt – Pelan pemulihan jangka masa pendek bagi atasi masalah banjir berulang di Melaka akan dibincangkan dalam masa terdekat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata ‘special task‘ itu akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Kamel Mohamad bersama-sama agensi berkaitan termasuk wakil penduduk di kawasan terjejas.
Katanya, antara yang perlu dibincangkan adalah mengenai pelan jangka masa pendek di mana terdapat beberapa keluarga yang telah menghadapi banjir tiga kali dalam tempoh setahun.
“Jadi, saya minta untuk semua agensi berkaitan duduk bincang mengenai kaedah jangka masa pendek bagi mengatasi masalah banjir yang sering berlaku di beberapa kawasan hotspot misalnya di Durian Tunggal ini.
“Hal ini kerana, pelan jangka masa panjang seperti membina kawasan tempatan banjir di Krubong dan beberapa kawasan lain memerlukan tempoh masa yang agak panjang selain memerlukan nilai yang agak tinggi untuk dilaksanakan.
“Saya mnta perbincangan ‘special task‘ yang diketuai SUK (Kamel) itu mesti melibatkan keterangkuman semua agensi dan wakil penduduk, untuk berbincang dan mendengar pandangan bagi mencari jalan untuk kaedah masa pendek berkaitan isu banjir berulang di negeri ini.
“Selesai perbincangan, jika ada keperluan untuk merujuk pada mana-mana kementerian dan memerlukan untuk ke Putrajaya, kita akan pergi bagi menyelesaikan isu banjir dari berlaku lagi,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat lawatan dan menyerahkan sumbangan kit makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, hari ini.
Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 25 keluarga melibatkan 76 mangsa ditempatkan di PPS SK Durian Tunggal.
Manakala secara keseluruhan mangsa banjir melibatkan 861 mangsa yang terdiri daripada 231 keluarga yang ditempatkan di PPS di bawah daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.