Perkukuh perpaduan demi kesejahteraan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 13 Ogos – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menyeru agar semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan rakyat terus diperkukuh sempena Hari Kebangsaan ke-65 tahun ini.

Katanya, perpaduan adalah kunci kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang dinikmati terutamanya ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

“Hasil daripada keteguhan ikatan perpaduan rakyat pelbagai kaum, kehidupan kita sekarang kembali normal selepas berdepan dengan pandemik COVID-19 dua tahun lalu.

“Teruslah memberi kerjasama supaya kita dapat menjalani kehidupan secara normal sepenuhnya, sama seperti sebelum pandemik.

“Justeru itu, kita perlu terus memperkukuhkan semangat ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, seterusnya bersama-sama dalam usaha mensejahterakan kehidupan rakyat dalam keadaan ekonomi negara dan dunia yang semakin mencabar pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bersempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Dataran Ayer Keroh, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem.

Dalam pada itu, Sulaiman turut memaklumkan Melaka cukup bertuah apabila dipilih sebagai tuan rumah bagi
sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September depan.

Menurutnya, ia adalah julung kalinya sambutan Hari Malaysia diraikan di luar Negeri Sabah dan Sarawak.

“Saya berharap sepanjang Bulan Kebangsaan ini, ceriakanlah persekitaran Melaka dengan kibaran Jalur Gemilang dengan penuh megah di mana-mana sahaja terutamanya di kediaman, premis perniagaan, bangunan kerajaan dan swasta serta kenderaan masing-masing.

“Saya juga mengajak semua, untuk kita mewajah dan mewariskan sebuah negeri yang lestari atas kerangka Melaka Rumahku yang maju jaya, sejahtera dan bahagia, kepada rakyat masa kini serta generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2578
Kongsi :
Previous post Premis kerajaan, swasta di Melaka diarah pasang Jalur Gemilang
Next post Doktor swasta jangan buat pembelian panik ubat-ubatan
Ubah saiz-+=