Sorting by

×

Perkukuh hubungan diplomatik Melaka-China

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LINGGI 4 Januari – Kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan penerokaan lebih banyak bidang pelaburan antara Melaka-China akan terus diperkasakan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Ketua Menteri berkata, hasrat itu adalah selari dengan ulangtahun diplomatik Malaysia-China yang ke 50 tahun.

Jelas beliau, hubungan antara Melaka-China bukan lagi perkara asing kerana sudah terjalin sejak abad ke 14 atau 600 tahun lalu ketika zaman Laksamana Cheng Ho.

“Sempena ulang tahun antara Malaysia dan China ini Melaka akan mengambil peluang untuk bersama-sama meraikannya dengan mengalu-alukan kedatangan mereka (pelancong dan pelabur China) ke Melaka

“Kita bukan saja menumpukan kepada pelaburan namun perlu fokuskan lebih mendalam bagi sektor pelancongan antara Melaka-China yang sebenarnya kaya dengan sejarah, seni dan budaya,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sokongan Didikan dan Pelancaran Kempen Sumbangan Buku EDRA di Stesen Loji Janakuasa EDRA, di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta Pengerusi Edra, Dai Honggang.

Ab Rauf berkata, penerimaan pelabur China terhadap Melaka juga amat positif dan dibuktikan menerusi beberapa pelaburan besar yang strategik diterima negeri ini seperti loji jana kuasa EDRA dimiliki Edra Power Holdings Sdn Bhd di Kuala Sungai Baru.

“Sebagai negeri mesra pelabur kita sentiasa menawarkan insentif menarik yang berbeza dengan tempat lain. Semua ini akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur untuk terus bertapak di Melaka,” katanya.

“Hanya Melaka yang akan menawarkan banyak insentif kepada mereka dan mengambil contoh daripada limpahan insentif itu membuktikan sehingga hari ini keyakinan pelaburan yang diberikan EDRA ini ia mampu beroperasi di Masjid Tanah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1407
Kongsi :
Previous post Mohon bina jalan pintasan Machap Jaya – Durian Tunggal
Next post Banjir kembali landa Johor, empat daerah terjejas
Ubah saiz-+=