PERKUKUH EKOSISTEM PENYELIDIKAN DAN INOVASI
AYER KEROH 6 Disember – Kerajaan Negeri optimis untuk memperkasakan program pembangunan sains dan teknologi bagi mencapai hasrat melahirkan lebih ramai rakyat Melaka berkemahiran tinggi.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, ia seiring dengan matlamat mencapai status negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Katanya, bagi menyahut saranan itu buat julung kalinya Kerajaan Negeri menganjurkan Hari Inovasi Negeri Melaka 2024 dengan tema ‘Pemerkasaan Budaya Inovasi Pemangkin Masyarakat’.
“Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menggerakkan usaha untuk membentuk masyarakat yang mempunyai budaya inovasi yang tinggi.
“Program ini menumpukan beberapa aspek antaranya asas robotik, kelestarian alam sekitar dan amalan hijau selain promosi kesihatan yang tentunya mencakupi aspirasi serta harapan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Perasmian Penutup Hari Inovasi Negeri Melaka 2024 di Kampus Teknologi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ayer Keroh, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM Prof Ir. Ts. Dr. Ghazali Omar dan Pengarah Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE Melaka @UTeM Prof Ts. Dr. Effendi Mohamad.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, penganjuran julung kali Hari Inovasi Negeri Melaka dijangka akan menyemarakkan ekosistem penyelidikan dan inovasi secara menyeluruh.
“Terdapat beberapa kategori yang dipertandingkan antaranya alam sekitar dan tenaga boleh diperbaharui; teknologi pembuatan; elektrik dan elektronik serta sains sosial yang mana secara keseluruhan ia membabitkan 120 kumpulan seluruh Melaka.
“Dengan pelbagai idea dan rekaan yang luar biasa ia secara tidak langsung mencerminkan
kebijaksanaan dan kecekapan peserta, selain mempamerkan potensi serta bakat yang dimiliki generasi muda dalam bidang inovasi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.