Perkim Masjid Tanah aktif majukan asnaf, mualaf
LENDU 2 Mac – Kebajikan asnaf dan mualaf sekitar Masjid Tanah sentiasa diberi perhatian oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bagi memastikan golongan itu tidak ketinggalan atau berasa tersisih.
Pengerusi Perkim Cawangan Masjid Tanah, Taib Baba berkata, selain menganjurkan aktiviti berbentuk kerohanian bagi memperkukuhkan lagi keimanan dan akidah, pihaknya turut mengatur program yang boleh membuka peluang kepada golongan berkenaan menjana pendapatan sendiri.
“Sejak 20 tahun lalu kita telah mengadakan kelas bimbingan fardu ain dan iqra setiap hujung minggu. Semua ini adalah percuma, alhamdulillah ramai yang sudah arif membaca al-Quran dan menunaikan solat mengikut rukun dan hukum yang sepatutnya.
“Sementara itu bagi membantu saudara kita ini menjana pendapatan kita anjurkan juga kelas masakan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Sumbangan barang Keperluan Asas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) serta Sumbangan Wang Moreh Masjid-Masjid di Masjid Tanah diadakan di Kompleks Perkim Cawangan Masjid Tanah, di sini hari ini.
Program diadakan dengan kerjasama YaPEIM dan Pertubuhan Jaringan Ikatan Ummah (JITU) itu telah dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Pengerusi JITU, Mariah Jantan serta tetamu lain.
Dalam pada itu, Taib berkata, program tahunan diadakan itu telah menyumbang barangan keperluan asas kepada 120 asnaf termasuk 30 mualaf di Masjid Tanah.
Selain itu katanya sebanyak 10 buah masjid terpilih dalam kawasan itu turut menerima RM300 sebagai sumbangan moreh pada Ramadan nanti.
“Program ini diadakan sepanjang tahun hasil daripada kutipan sewaaan dewan dan dijadikan sebagai bantuan diagihkan buat golongan mualaf dan asnaf di kawasan ini.
“Perkim berharap dengan bantuan ini mampu mengurangkan bebanan golongan terlibat dan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menghulurkan bantuan golongan ini pada masa akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.