PERKHIDMATAN KESIHATAN PSH DIIKTIRAF ANTARA YANG TERBAIK
BANDARAYA MELAKA 8 November – Putra Specialist Hospital (PSH) menerima Pensijilan Akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) bagi tempoh empat tahun berkuat kuasa 30 Julai 2024 hingga 29 Julai 2028.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pensijilan akreditasi itu merupakan satu proses penilaian taraf perkhidmatan sesebuah hospital kerajaan atau swasta berdasarkan standard kualiti dan piawaian ditetapkan MSQH.
“Pengiktirafan ini penting dalam memastikan perkhidmatan kesihatan khususnya di Negeri Melaka berada pada satu tahap yang terbaik.
“Secara tidak langsung membuktikan komitmen dan kerja keras kakitangan PSH dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan selamat, berkualiti dan berorentasikan ‘patient-centered care,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Pensijilan Penuh Akreditasi MSQH Edisi Ke- 6 di PSH, hari ini.
Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan oleh Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MSQH, Datuk Dr. Heric Corray dan Ketua Pegawai Eksekutif PSH, Mohd Zahiruddin Ahmad.
Katanya, PSH merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri yang banyak menyumbang ke arah pembangunan Melaka yang mana telah diiktiraf sebagai antara agensi ‘Top Road to Performer’.
“Saya yakin PSH bukan sahaja berdedikasi dalam menawarkan kecekapan perkhidmatan, bahkan sentiasa memperkukuh sinergi usaha ke arah penambahbaikan berterusan daripada segi tatacara kerja, fasiliti mahupun teknologi digunakan.
“Jadikan pengiktirafan ini pemangkin untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan khususnya melibatkan pelaburan dalam pembangunan kakitangan, menaik taraf kemudahan dan mengaplikasi perubahan inovasi terkini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.