PERKHIDMATAN 80 PEGAWAI SYARAK DI MASJID TANAH DISAMBUNG
KUALA LINGGI 14 Januari – Seramai 80 pegawai syarak di Parlimen Masjid Tanah menerima surat penyambungan tugas bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) DUN Kuala Linggi.
Surat tawaran itu diserahkan pada Majlis Penyerahan Penyambungan Pegawai Syarak Tahun 2025 Bagi Parlimen Masjid Tanah, di Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini, hari ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, penyambungan itu membabitkan imam, bila, noja dan pengurusan jenazah wanita membabitkan masjid-masjid di kawasan tersebut.
Rahmad berkata, mewakili Kerajaan Negeri, beliau berterima kasih di atas komitmen yang diberikan kesemua pegawai syarak yang telah menjaga masjid di kawasan kariah masing-masing.
“Pada masa sama, saya turut mengingatkan kepada pegawai-pegawai syarak ini agar menjalin hubungan baik dengan pegawai-pegawai lain serta pengurusan masjid, pengurusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan masyarakat setempat.
“Ini kerana mereka ini (pegawai syarak, pemimpin dan masyarakat) tinggal di kampung yang sama, jadi mereka perlu mempunyai hubungan yang baik supaya memudahkan tugas-tugas berkaitan hal ehwal Islam di setiap kawasan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi merangkap Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah.
Sementara itu, Rahmad dalam ucapannya berkata, penyambungan tugas itu merupakan satu pengiktirafan kepada sumbangan dan komitmen yang diberikan para pegawai syarak dalam memelihara ketertiban dan keberkesanan fungsi masjid sebagai pusat ibadah dan pusat penyebaran ilmu.
“Tanggungjawab yang digalas pegawai syarak bukanlah sesuatu yang ringan kerana ia melibatkan banyak aspek, termasuk memastikan kesucian dan keharmonian dalam setiap aktiviti masjid.
“Saya berharap para pegawai syarak akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan keikhlasan, selain menjadi contoh yang baik dalam menjaga akhlak dan menjunjung tinggi nilai-nilai agama di dalam setiap tindakan mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.