Perkeso, Majoriti meterai MoU promosi inisiatif
Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata ini bukan sahaja akan membantu menarik lebih ramai rakyat Malaysia yang layak untuk memohon inisiatif-inisiatif yang ditawarkan, tetapi lebih penting meningkatkan kesedaran berhubung jaringan perlindungan keselamatan sosial.
Beliau juga berkata Perkeso sekali lagi telah diberi kepercayaan oleh kerajaan, untuk melaksanakan beberapa inisiatif penting di bawah Bajet 2022.
“Dalam usaha untuk memastikan bantuan kerajaan dapat disalurkan kepada segenap golongan sasar, kami mengadaptasi teknologi dan mengambil pendekatan digitalisasi, untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya dalam ucapan pada majlis menandatangani MoU itu di sini, semalam.
Mohammed Azman berkata aplikasi PRIHATIN Perkeso yang dilancarkan pada 26 Nov 2021, dilengkapi dengan teknologi terkini yang menawarkan kemudahan buat pencarum Perkeso, untuk mendapatkan pelbagai informasi terbaharu mengenai caruman mereka hanya di hujung jari, dan turut menjadi salah satu daripada platform untuk memohon inisiatif Bajet 2022 yang dilaksanakan Perkeso.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komunikasi Perkeso Izad Raya berkata kerjasama Perkeso dan Majoriti menerusi aplikasi PRIHATIN Perkeso, merupakan usaha pendekatan yang menarik dan cara yang berkesan bagi menguar-uarkan inisiatif kerajaan yang dilaksana Perkeso.
Melalui kerjasama dengan Majoriti juga, pengguna aplikasi ini turut ditawarkan kadar rendah bagi melanggan portal Majoriti, selain mendapat potongan harga dan promosi bagi jualan barangan gaya hidup dan hadiah-hadiah menarik.
Perkeso sekali lagi diberi kepercayaan kerajaan untuk melaksanakan beberapa inisiatif penting di bawah Bajet 2022, bagi melindungi golongan majikan dan pekerja di Malaysia seperti Program Subsidi Upah Bersasar, Program Jamin Kerja-Insentif Penggajian, SPS Khidmat dan SIP Gig agar pemulihan ekonomi pasca Fasa Pemulihan Negara dapat diteruskan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.