PERKESO KUAT KUASA HAD SILING GAJI BAHARU UNTUK CARUMAN BERKUAT KUASA HARI INI
Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
“Mulai 1 Okt ini, amaun caruman yang akan terpakai bagi pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 dan RM6,000 sebulan adalah seperti mana yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 serta Jadual Kedua, Akta 800
“Langkah meningkatkan siling gaji ini dapat memberi manfaat yang lebih baik kepada pekerja yang berskala gaji melebihi RM5,000 menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 20.2 peratus,” menurut kenyataan itu.
Faedah itu termasuk Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Pencen Ilat dan Penakat di bawah Akta 4, serta Elaun Mencari Pekerjaan, Elaun Pendapatan Berkurangan dan Elaun Bekerja Semula Awal di bawah Akta 800.
Sehubungan itu, menurut Perkeso majikan hendaklah membuat bayaran caruman bermula 1 Okt dan seterusnya mengikut pindaan had siling gaji baharu itu serta mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan.
“Dianggarkan 1.5 juta pekerja atau hampir 15.5 peratus daripada keseluruhan pencarum Perkeso di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji ini yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing,” menurut kenyataan itu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.