Sorting by

×

Perkenal produk jenama Tangga Batu di persada dunia – Ban Hong

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

TANGGA BATU 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lim Ban Hong berikrar untuk memperjuangkan produk hasil tani keluaran Tangga Batu hingga ke persada dunia.

Beliau yang bertanding di kerusi P136 Tangga Batu berkata, kawasan tersebut sememangnya terkenal dengan keluaran hasil tani antaranya hasil padi dan juga mangga ‘Delite’ yang diusahakan di Kampung Gelam.

Katanya, menerusi aku janji manifesto yang ditawarkannya, beliau telah menggariskan aspek pertanian sebagai keutamaan seperti menjaga kebajikan pesawah dan pekebun, selain komited membantu aspek pemasaran produk hingga ke peringkat antarabangsa.

“Saya telah bertemu pesawah dan pekebun dan mendengar sendiri permasalahan mereka dan berkongsi visi dan misi saya untuk membantu pekebun dan pesawah.

“Saya juga berhasrat untuk membantu mengembangkan perusahaan mangga ‘delite’ di kawasan ini yang boleh menjadi produk jenama Tangga Batu yang boleh dikenali di seluruh negara, bahkan juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

8F911BAE-B616-4837-8E80-A75063464715
BAN Hong pada sesi dialog bersama pesawah dan pekebun di Kampung Gelam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi dialog bersama pesawah dan pekebun di Kampung Gelam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ban Hong berkata, sebagai individu yang pernah menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), beliau yakin dapat membantu produk-produk tani tempatan di kawasan itu meluaskan pasaran mereka ke peringkat global.

Katanya, agensi di MITI seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berupaya membantu mempromosikan produk berkenaan di peringkat antarabangsa.

“Jadi, saya akan ke ladang dan kebun yang diusahakan dan bersmaa cari pendapatan bagaimana nak promosikan jenama produk pertanian ini sebagai produk jenama Tangga Batu atau Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2629
Kongsi :
Previous post Sempat belanja satu warung sebelum maut nahas
Next post Sebak anak perempuan dan cucu pergi sekelip mata
Ubah saiz-+=