Sorting by

×

PERKENAL LIMA HENTIAN BECA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 2 Januari – Perkhidmatan beca di negeri ini akan lebih sistematik dengan adanya lima pusat hentian beca atau ‘pit stop’ bermula tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penambahbaikan kepada sistem perkhidmatan itu akan menjadikan pengurusan perjalanan lebih teratur dan sistematik.

Katanya, penambahbaikan dilakukan keatas ikon pelancongan itu juga adalah antara persediaan bagi menyambut Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD 2025).

“Kita akan memulakan penambahbaikan kepada sistem pengayuh beca, ia supaya pengurusan kaedah perjalanan beca akan bertambah baik.

“Jadi kita telah bahagikan kepada lima zon iaitu Menara Taming Sari; Melaka Historical Vehicle Park; Dataran Sungai Melaka, Medan Samudera dan Bangunan Stadthuys.

“260 pengayuh beca berdaftar akan dibahagikan kepada lima hentian ini dan mereka akan berada disetiap hentian untuk tempoh tiga bulan sebelum bertukar ke lokasi lain.

“Penambahbaikan ini juga dilakukan bersempena WTD2025 kerana beca ini akan menjadi antara ikon yang bakal menarik perhatian selain kita juga telah mengiktiraf penarik beca sebagai duta kecil pelancongan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Apresiasi Pengayuh Beca Negeri Melaka Tahun 2025 yang turut dihadiri Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri,  Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, barisan Timbalan Exco serta Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Jelas Ab Rauf, penambahbaikan dilakukan adalah menjadi hasrat kerajaan negeri bagi memastikan perkhidmatan beca di Melaka sentiasa berada pada tahap yang berkualiti dan sistematik.

“Penambahbaikan dilaksanakan ini juga bukan sahaja untuk keselesaan penumpang tetapi juga kebaikan buat pengayuh beca itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ab Rauf berkata majlis apresiasi yang diadakan itu adalah pertemuan amat bermakna bagi menterjemahkan keprihatinan dan kebersamaan antara Kerajaan Negeri dengan pengayuh beca.

“Selayaknya, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengayuh beca.

“Ini kerana tidak henti menyokong aspirasi dan hala tuju kerajaan negeri sehingga Melaka berjaya merekodkan hampir 15 juta kehadiran pelancong pada 2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

176
Kongsi :
Previous post MELAKA JADI NEGERI PERTAMA DIGITALKAN BECA
Next post SPM PERMULAAN PERSIMPANGAN KEHIDUPAN
Ubah saiz-+=