PERKENAL KAEDAH BAHARU ATASI ISU SAMPAH HARAM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KLEBANG 29 September – Satu kaedah baharu akan diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi menangani isu sampah longgok dan tapak pembuangan sampah haram di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kaedah itu akan diperkenalkan bermula tahun depan, di mana perincian lanjut akan dimumkan kelak.

“Insya-Allah tidak lama lagi kita akan perkenalkan satu pendekatan baharu untuk memudahkan rakyat yang tinggal di kawasan yang tidak terlibat dengan syarikat konsesi kutipan sampah untuk membuang sampah.

“Selain itu, kita juga mendapati antara banyak isu pembuangan sampah haram yang berlaku adalah membabitkan sisa pepejal komersial, industri dan institusi (ICI), selain pengusaha restoran yang tidak tahu di mana tempat membuang sampah dan tidak melantik kontraktor yang sepatutnya.

“Jadi, kita dalam usaha untuk membuat keputusan yang terbaik selaras dengan hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang sering berpesan untuk memastikan kebersihan Melaka sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Program Malaysia Book Of Records World Clean Up Day 2024 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran Klebang, di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Setiausaha MBMB Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh; Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka Nor Zaki Md Nor dan lain-lain kenamaan.

Terdahulu, program tersebut memecahkan Malaysia Book Of Record (MBOR) bagi Kategori
Sukarelawan Teramai Sempena Program World Clean Up Day 2024 dengan pembabitan 3,852 peserta, termasuk lebih 1,500 murid daripada 46 buah sekolah.

Program itu melibatkan kutipan sampah di radius 15 hingga 20 kilometer sekitar Klebang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

89
Kongsi :
Previous post AKADEMIK TIKET UBAH NASIB KELUARGA
Next post ‘R.E.A.C.T’ BANTU CEGAH KANSER ANAK-ANAK
Ubah saiz-+=