PERKEMAS KEPAKARAN, PENGALAMAN MENDEPANI ISU AKIDAH

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 14 Oktober – Kepakaran dan pengalaman antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi agama Negeri Melaka perlu diperkemaskan lagi dalam mendepani isu akidah khususnya yang membabitkan umat Islam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, umat Islam kini terdedah kepada cabaran isu akidah dan akhlak yang menyerang kumpulan liberalisme serta pluralisme atas dasar kemodenan.

“Perkongsian maklumat, pengalaman dan kepakaran dalam bidang siasatan termasuk risikan antara PDRM serta agensi agama perlu diperkemaskan lagi. Ia sejajar dengan perkembangan semasa dalam meningkatkan kompetensi dan kecekapan anggota yang terlibat.

“Saya berharap kerjasama erat antara PDRM dan agensi agama terlibat antaranya Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Pendakwaan Syariah, sentiasa ditingkatkan agar kita dapat menangani isu-isu akidah berlaku di Melaka dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Fatwa Kontemporari Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Melaka dan Pelancaran Pelan Sempadan Kariah Masjid Seluruh Negeri Melaka, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu turut dihadiri Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad dan Pengarah JAIM, Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Rahmad yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata, sehingga kini Jabatan Mufti Negeri Melaka telah mewartakan sebanyak 29 fatwa berkaitan isu penyelewengan akidah atau ajaran sesat di negeri ini.

“Jumlah itu bukanlah suatu angka yang kecil dan ia secara tidak langsung menggambarkan bahawa kecenderungan terhadap ajaran sesat atau penyelewengan akidah masih berlaku dalam segelintir masyarakat Islam di Melaka ini.

“Meskipun isu-isu ini masih dipandang enteng oleh sesetengah masyarakat, namun ia suatu yang amat membimbangkan terutamanya membabitkan akidah generasi mendatang dalam meneruskan legasi memperteguhkan syiar Islam yang sebenar,” katanya.

Jelasnya, sekiranya perkara ini tidak dibendung dari awal ia dikhuatiri akan terus tersebar luas sehingga merosakkan akidah umat Islam serta membawa kepada perpecahan dalam keluarga seterusnya masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

190
Kongsi :
Previous post FESTIVAL SENI SELAT MELAKA DAN FESTIVAL SUNGAI MELAKA SERIKAN ICAF 2024
Next post MELAKA MILIKI KILANG PEMASANGAN MOTOSIKAL ELEKTRIK PERTAMA NEGARA
Ubah saiz-+=