Sorting by

×

Perkasakan semula seni khat dan tulisan Jawi

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 18 Ogos – Pameran Seni Khat dan Sejarah Cina Muslim Melaka 2022, menjadi platform terbaik bagi membangunkan semula peradaban tulisan Jawi yang semakin dilupakan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Akramuddin Ab Aziz berkata, pameran berlangsung di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bermula dari 28 Julai lalu hingga hujung Disember ini.

Beliau berkata, pameran itu relevan dalam usaha memperkasakan bidang komunikasi Islam menggunakan tulisan Jawi yang popular dalam kalangan masyarakat di negeri ini suatu ketika dahulu.

“Ketika kedatangan Laksamana Cheng Ho ke Melaka tulisan Jawi sudah digunakan sebagai perantara pada masa itu. Jadi amat perlu kita perkenalkan seni halus ini khusus kepada anak-anak muda zaman sekarang.

“Saya melihat daripada segi komunikasi, harus diperluaskan ke seluruh negara dan kalau boleh dijadikan sebagai silibus agar lebih menarik perhatian serta minat masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, demikian selepas Majlis Perasmian Pameran Dan Pelancaran Buku Seni Khat Dan Sejarah Cina Muslim Melaka 2022, di Balai Syed Shiekh Al-Hadi, Bastion House, di sini, hari ini.

Terdahulu perasmian pameran itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Wira Dr Mohd Jamil Mukmin, Pengurus Besar DMDI, Datuk Wira Zainal Hussin, Pengarah PERZIM, Dr Mohd Nasruddin Rahman dan Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka, Dr Mohd Rasdi Zaini.

Akramuddin berkata, Perzim mensasarkan lebih 20,000 pengunjung akan singgah ke pameran itu terutama pada musim cuti persekolahan akan datang.

Lebih 300 hasil seni khat dan barangan sejarah Cina Muslim diilhamkan penggiat seni dari negara China Yusuf Liu Bao Jun, dipamerkan sepanjang tempoh itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1453
Kongsi :
Previous post Empat pemancing selamat selepas bot terbalik di Mersing
Next post Polis tumpaskan ‘geng seri’
Ubah saiz-+=