PERKASA USAHAWAN WANITA BERPOTENSI
PANTAI KUNDOR 7 September – Usahawan wanita yang menunjukkan potensi dan kesungguhan akan dibantu agar mampu kekal bersaing serta meneroka pasaran baharu bagi produk mereka.
Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, usaha memperkasakan kaum hawa dalam bidang perniagaan di Melaka dilaksanakan dengan kerjasama Majis Amanah Rakyat (MARA).
Katanya, bimbingan disediakan mampu meningkatkan lagi kualiti produk dan perkhidmatan ditawarkan usahawan wanita, sekali gus menepati kehendak pelanggan.
“Bimbingan ini juga perlu agar usahawan wanita Negeri Melaka terutama mereka yang berjinak dalam perniagaan mikro terus bersemangat dan yakin untuk maju serta berani meneroka pasaran pada masa akan datang.
“Peranan MARA untuk melahirkan lebih ramai usahawan wanita berjaya amat dihargai, ini juga antara usaha Negeri Melaka untuk mengangkat martabat kaum hawa dalam perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita 2024 diadakan di sebuah hotel di Pantai Puteri, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah MARA negeri, Nurul Azmi Johari dan Ketua Penolong Pengarah MARA, Mohd Hilmi Md Yusuf.
Terdahulu, program diadakan itu telah menghimpunkan seramai 150 usahawan wanita sekitar Tangga Batu yang diberi pendedahan dan bimbingan mengenai dunia keusahawanan daripada wakil MARA.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.