
PERKASA USAHA PELIHARA WARISAN NEGARA
BANDA HILIR 19 Februari – Penganjuran National Heritage Conference dilihat sebagai platform utama bagi membincangkan idea baharu dalam pemeliharaan warisan, mencetuskan inovasi, penyelesaian kreatif serta menyemai kesedaran dalam masyarakat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi sesi yang diadakan sepanjang dua hari persidangan itu berlangsung, segala ilmu, pengalaman dan resolusi yang diperoleh diterjemahkan ke dalam tindakan nyata yang berterusan sama ada dalam bentuk dasar, polisi mahupun inisiatif lebih mampan.
Jelasnya, persidangan bertemakan Sejarah Kita, Warisan Kita amat bertetapan dalam memastikan usaha melestarikan sejarah dan warisan terus diperkasa dan dihargai sebagai sebahagian daripada jati diri bangsa.
“Besar harapan saya agar program seumpama ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dan usaha berterusan dalam memelihara warisan negara secara proaktif.
“Malah seiring dengan perkembangan teknologi, peluang pendigitalan dan inovasi perlu dimanfaatkan bagi memastikan pemeliharaan warisan lebih efisien dan lestari,” katanya.
Terdahulu, teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin pada Majlis Makan Malam National Heritage Conference Tahun 2025 Sempena Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu, di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP. Shanmugam; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin serta barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Menurut Ketua Menteri, agensi kerajaan yang terlibat juga perlu bertindak lebih proaktif bagi memastikan pembangunan di kawasan warisan tidak terlalu ‘rigid’ dan terhad.
Ujar beliau, ia perlu dikawal dengan pendekatan seimbang agar warisan negara terus relevan dalam arus kemodenan tanpa menjejaskan nilai sejarah serta identiti budaya yang menjadi asas negara kita.
“Kerajaan Negeri amat komited dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan Negeri Melaka dengan merencana pelbagai pembangunan yang terancang, menggamit pelaburan serta memperhebatkan semua sektor.
“Ini untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri disamping memelihara khazanah warisan yang kaya di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.