
PERKASA TUISYEN RAKYAT UNTUK PELAJAR DUN REMBIA
REMBIA 21 Januari – Pelaksanaan Tuisyen Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia diteruskan bagi membantu kecemerlangan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.
Penyelaras DUN Rembia, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, Tuisyen Rakyat itu antara inisiatif yang dilakukan bagi membantu calon peperiksaan mengikuti kelas tambahan secara percuma.
“Di DUN Rembia ini kita adakan Tuisyen Rakyat yang mana peruntukan diberikan kepada sekolah untuk menguruskan terus kelas tambahan yang diadakan di sekolah mengikut modul, teknik menjawab soalan dengan bimbingan guru-guru terlatih.
“Sebanyak tiga sekolah menengah di DUN Rembia akan menerima peruntukan ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, SMK Dato’ Dol Said dan SMK Dato’ Haji Talib Karim,” katanya.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan DUN Rembia, semalam.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, pendekatan mengadakan tuisyen di sekolah itu susulan pelaksanaan di DUN Asahan sebelum ini tidak mendapat sambutan menggalakkan.
“Sebelum ini kita pernah adakan seperti di Japerun dan balai raya terpilih tetapi calon tidak datang jadi kita ubah pendekatan dengan mengadakan di sekolah.
“Untuk itu apabila sekolah yang menguruskan komitmen ditunjukkan pelajar memberi maklum balas positif selain keselamatan mereka lebih terjamin.
“Justeru itu, di DUN Rembia ini pendekatan sama diambil apabila Tuisyen Rakyat ini dilaksanakan di sekolah,” katanya.
Jelasnya, menerusi pelaksanaan ini juga ia secara tidak langsung dapat merangsang kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.