Sorting by

×

PERKASA PENDIDIKAN ORANG ASLI, TINGKAT KEMASUKAN KE MRSM – JAKOA

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 24 Mac – Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) komited dalam memperkasakan pendidikan anak-anak masyarakat Orang Asli termasuk meningkatkan lagi jumlah kemasukan mereka ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAKOA Mohd Zamri Mustajap berkata, pihaknya dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA) giat memperluaskan akses pendidikan kepada masyarakat Orang Asli.

“Setakat ini, lebih kurang 40 anak Orang Asli berjaya ke MRSM dan kami akan terus berusaha meningkatkan jumlah ini dari semasa ke semasa.

“Ini adalah satu penanda aras dan contoh kepada setiap negeri serta negara lain dalam memastikan pendidikan inklusif untuk semua,” katanya ketika ditemui selepas Program Wacana Kepimpinan Orang Asli & Iftar Ramadan anjuran JAKOA yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah MITC, di sini, semalam.

Hadir sama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem serta Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan sebagai alat utama bagi membebaskan masyarakat Orang Asli daripada kemiskinan.

“Berikutan itu lebih banyak program pendidikan akan diperkenalkan untuk memastikan mereka dapat bersaing secara sihat, sekali gus meraih kecemerlangan dalam akademik dan ekonomi. Usaha ini diharap membantu masyarakat Orang Asli membina masa depan yang lebih cerah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

602
Kongsi :
Previous post CHARITY OUTLET JADI TUMPUAN
Next post TIGA PELAJAR CEDERA MAIN MERCUN DIUBAH SUAI DI ASRAMA SEKOLAH, SEORANG PUTUS JARI