
PERKASA KOMUNITI MELALUI SENI AWAM
ALOR GAJAH 23 Februari – Gandingan kerjasama antara pihak industri, akademik dan Kerajaan mewujudkan persekitaran lebih ceria di Dataran Keris dan sekitarnya, selain secara tidak langsung menanam nilai budaya lestari dalam kalangan masyarakat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, usaha dilaksanakan menerusi projek Warnaloka Dataran Keris itu melibatkan pihak Julie’s, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).
Katanya, kejayaan projek itu adalah contoh terbaik bagaimana ketiga-tiga sektor berganding bahu dalam memperkasakan komuniti melalui seni awam.
“Sokongan MPAG adalah dengan menyediakan kawasan sekitar Dataran Keris sebagai medan kanvas menerusi mural yang terang dan ceria, suasana baharu ini mengubah landskap dataran kepada lokasi mesra komuniti.
“Projek dengan kerjasama Julie’s ini boleh dijadikan model terbaik apabila industri di sesebuah kawasan mengambil peranan menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat melalui kerjasama lokalitinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Car Free Zone @Alor Gajah, Santai Malam Minggu dan Pelancaran Projek Warnaloka Dataran Kesis, di sini, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Hadir sama pada Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Yang Dipertua MPAG, TPr. Saifuddin Abdul Karim; Rektor UITM Melaka, Prof Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini serta Pengurus Besar Syarikat Julie’s, Lee Boon Seng.
Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PayaĀ Rumput, turut mengucapkan tahniah kepada UiTM atas inisiatif membangunkan ‘Sustainable Public Art Framework Guidelines (SPAFG) yang bakal menjadi rujukan penting dalam perancangan seni awam yang lebih sistematik dan mampan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.