Perkasa baitulmal sebagai institusi perbendaharaan umat Islam
BANDARAYA MELAKA 7 Mac – Peranan baitulmal perlu terus diperhebat dan harus dilihat sebagai sebuah institusi perbendaharaan serta kewangan yang dikagumi oleh umat Islam di negara ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, pemerkasaan baitulmal secara tidak langsung menyokong peranannya dalam menjana keseimbangan sosioekonomi umat Islam selain dapat mengoptimumkan manfaatnya secara bersama.
Katanya, keistimewaan institusi baitulmal khususnya di Negeri Melaka hendaklah dimanfaatkan sebaiknya terutama dalam mendepani keadaan senario ekonomi yang mencabar.
“Jika kita selusuri sirah dan sejarah Islam, begitu banyak kisah-kisah berkaitan baitulmal, termasuklah pengkisahan sewaktu zaman Khalifah Umar Abdul Aziz di mana baitulmal waktu itu dikatakan sedang mencapai kemuncak kegemilangannya.
“Beliau telah menyusun semula pentadbiran baitulmal kepada beberapa jabatan berasingan. Maka, dengan pentadbiran baitulmal yang bersistematik telah menghasilkan kutipan cukai waktu itu meningkat berganda-ganda,” kata Ketua Menteri.
Ab Rauf berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Baitulmal Kebangsaan Tahun 2024 yang bertemakan ‘Melestarikan Baitulmal, Merintis Malaysia Madani’ di sebuah hotel di sini, petang tadi.
Hadir sama pada majlis itu Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Datuk Selamat Paigo.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) Dr. Ridzwan Bakar serta Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.
Sehubungan itu Ketua Menteri, menyambut baik penganjuran konvensyen berkenaan yang dijayakan hasil kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), JAWHAR dan YWM.
“Saya menyambut baik inisiatif ini yang menghimpunkan cetusan pemikiran oleh para ilmuan dan cendekiawan Islam melalui perkongsian pengalaman serta pengetahuan masing-masing dalam melestarikan institusi Baitulmal selaras dengan konsep Malaysia Madani,” kata Ketua Menteri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.