
Perkampungan Portugis selesai disanitasi
UJONG PASIR 11 Julai – Kru Badan Perhubungan UMNO Melaka dan Unit Amal Traders (UAT) melakukan sanitasi di Perkampungan Portugis semalam, susulan terdapat satu kes positif COVID-19 dalam komuniti itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) berkenaan, Marina Linda Danker berkata, kerja-kerja sanitasi bermula jam 6.30 petang hingga 8.30 malam membabitkan 118 kediaman.

“Proses sanitasi dilakukan semalam (Sabtu) selepas terdapat satu kes positif COVID-19 pada Jumaat lalu membabitkan wanita berusia 40 tahun.
“Punca jangkitan COVID-19 dari tempat kerja dan kita dimaklumkan dia (pesakit) telahpun dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC,” katanya.
Katanya, setakat ini seramai 1,600 penduduk di kampung itu diarahkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita memang sentiasa keluarkan memo untuk ingatkan penduduk di sini supaya tidak keluar rumah, jika keluar beli barang pun hanya seorang saja bagi setiap keluarga.
“Setakat ini memang penduduk di sini tiada yang berkumpul ramai-ramai, ditambah pula kes di Melaka banyak sebab itu penduduk tak berani nak keluar,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.