PERKAMPUNGAN HANG TUAH AKAN KEMBALI MERIAH
DUYONG 30 Januari – Pelbagai program bakal diadakan di Perkampungan Hang Tuah dalam usaha ‘menghidupkan’ dan menggamit lebih ramai pengunjung serta pelancong ke lokasi penuh bersejarah itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, beberapa siri perbincangan sudah diadakan pihaknya bersama wakil dan pihak yang berminat untuk turut serta dalam memeriahkan Perkampungan Hang Tuah.
Katanya, antara perancangan itu adalah untuk memindahkan semua persatuan silat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong ke perkampungan itu, namun ianya masih dalam proses untuk mendapatkan persetujuan.
“Kita cadangkan untuk pusatkan semua Persatuan silat dalam DUN Duyong kePerkampungan Hang Tuah jadi mereka akan berlatih di sana pada setiap hujung minggu.
“Ketika ini hampir separuh persatuan silat sudah bersetuju dan sekarang tinggal untuk mulakan gerak kerja sahaja,” katanya.
Mohd Noor Helmy yang juga Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pihaknya turut menerima cadangan daripada wakil persatuan baba dan nyonya.
Jelasnya, persatuan itu menyatakan hasrat untuk menjadikan salah sebuah kemudahan di Perkampungan Hang Tuah sebagai pusat untuk memperkenalkan adat resam serta budaya mereka.
Menurutnya, beliau sendiri sentiasa menyusun program untuk menghidupkan Perkampungan Hang Tuah dengan penganjuran sukan rakyat pada hujung minggu, program jualan barangan lama serta pesta budaya dengan harapan ia akan menggamit lebih ramai pengunjung.
“Untuk itu kita sedang perhalusi dan lihat kesemua cadangan ini bagaimana ia boleh kita harmonikan, sekali gus merealisasikan hasrat kita,” katanya.
Jelasnya, untuk memeriahkan atau menarik lebih ramai pengunjung ke Perkampungan Hang Tuah, pengisian program secara berterusan perlu dilaksanakan.
“Saya tidak mahu pengisian secara ‘one-off’, sebaliknya perlu dibuat secara berterusan kerana aset di Perkampungan Hang Tuah itu berpuluh juta malah ia juga baru selesai melalui proses naik taraf.
“Dengan pelbagai program Dan aktiviti ia bukan sahaja dapat menarik pengunjung malah pelancongan dari luar negara juga yang ingin melihat secara dekat” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.