Sorting by

×

Perkaderan Syabab MABIMS 2024 fokus 4 objektif utama

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 8 Ogos – Program Perkaderan Syabab MABIMS Tahun 2024 menetapkan empat objektif utama yang mahu dicapai oleh golongan belia Islam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dr. Ruslan Said berkata, objektif pertama adalah untuk memperkasa keutuhan jati diri belia Islam agar menjadi generasi kalis masa hadapan berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kedua, jelasnya adalah untuk menerapkan kefahaman pentingnya belia yang memiliki minda kelas pertama dan gaya kepimpinan Islam.

“Seterusnya, program ini juga mahu melahirkan pemimpin muda yang mempunyai qudwah hasanah (teladan baik menjadi ikutan) bercirikan al-Qawiyyul Amin dan memberdaya sahsiah unggul belia Islam MABIMS.

“Dan yang terakhir secara amnya adalah untuk membina jaringan kerjasama dan hubungan diplomatik dengan negara-negara anggota MABIMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Perkaderan Syabab MABIMS Tahun 2024 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Hotel MITC, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Dr. Ruslan berkata menerusi program tersebut seramai 40 peserta berpeluang untuk menimba ilmu, berkongsi pengalaman dan membina jaringan kukuh dengan rakan-rakan dari negara anggota MABIMS.

Katanya, program yang berlangsung sembilan haripada 6 hingga 14 Ogos bakal mencapai objektif dan memberi impak mendalam kepada pembangunan belia Islam di rantau ini.

“Kita percaya bahawa pemimpin yang baik bukan sahaja perlu berpengetahuan luas dan berkemahiran namun perlu juga mempunyai sahsiah serta akhlak terpuji,” katanya.

MABIMS merupakan singkatan bagi Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

132
Kongsi :
Previous post TYT rasmi Perkaderan Syabab MABIMS Tahun 2024
Next post Misi perkasa belia Islam Asia Tenggara
Ubah saiz-+=