Perjuangan atlet Malaysia buru emas pertama Olimpik bermula
SELEPAS kira-kira setahun Sukan Olimpik Tokyo 2020 tertangguh susulan penularan pandemik COVID-19, temasya sukan terbesar dunia itu bakal membuka tirai secara rasmi esok.
Bagi 30 atlet negara yang bakal beraksi pada Olimpik Tokyo, kini tiba masa bagi mereka menampilkan aksi terbaik masing-masing, bagi mengharumkan nama Malaysia di persada sukan dunia.
Setelah lebih empat tahun mengerah keringat, berdepan kepayahan dan melakukan pengorbanan dalam persiapan menghadapi temasya berprestij itu, mereka akan berdepan atlet terbaik dunia dalam acara masing-masing untuk mendapatkan pengiktirafan, dan lebih penting meraih pingat emas sulung Olimpik buat Malaysia.
Sejak Sukan Olimpik mula diperkenalkan pada 1896 di Athens, Greece, dan Malaysia mula menyertai temasya berkenaan bermula 1956 di Melbourne (sebagai kontinjen Malaya), belum pernah ada atlet Malaysia yang meraih pingat emas.
Adakah ia akan berbeza kali ini? Adakah mana-mana 30 atlet negara yang berada di Tokyo dapat menamatkan penantian sekian lama ini, dengan membawa pulang pingat emas yang dinanti-nantikan jutaan rakyat Malaysia?
Seperti legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong, kesemua mereka semakin hampir merealisasikan pingat emas pertama itu di Rio 2016, namun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.
Bukan mudah untuk meraih pingat emas Olimpik, apabila terpaksa bersaing dengan jaguh terbaik dunia, namun ia bukan sesuatu yang mustahil.
Jika atlet negara menampilkan aksi terbaik, peluang tersebut sentiasa ada.
Bukan memperkecilkan keupayaan mana-mana atlet Malaysia yang bertanding pada temasya itu, namun secara realistik impian untuk melihat atlet negara meraih pingat emas sulung itu terletak kepada tiga sukan iaitu berbasikal, badminton dan terjun.
Setelah memenangi pingat gangsa pada edisi Rio 2016, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang mencipta sejarah atlet berbasikal Malaysia pertama meraih pingat di pentas Olimpik, diletakkan harapan tinggi untuk meraih pingat emas pertama Malaysia itu, dan beliau tanpa berselindung sedia menyahut cabaran tersebut.
“Saya mengambilnya secara positif, tanggungjawab saya kepada negara. Daripada bersembunyi di sebalik tirai, sebagai atlet profesional, saya melangkah untuk menggalas tanggungjawab dan sudah pasti berusaha keras di belakang tabir,” kata Mohd Azizulhasni.
Mohd Azizulhasni yang akan beraksi dalam acara keirin dan pecut pada temasya Olimpik Tokyo, pernah mencipta sensasi muncul juara keirin di Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong, selepas hanya memperoleh pingat perak pada 2010 dan gangsa pada 2015 dan 2016.
Pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia juga menjadi sandaran utama bagi menamatkan penantian kilauan emas itu, sekiranya mampu mempamerkan prestasi terbaiknya berdasarkan pencapaiannya mengatasi pemain nombor satu dunia Kento Momota dan juara bertahan Viktor Axelsen, sebelum bergelar juara All England 2021.
Ratu terjun negara Pandelela juga diharap dapat menyinar di Olimpik kali ini, berbekalkan semangat meraih pingat emas pada Piala Dunia Terjun 2021 di Pusat Akuatik Tokyo pada awal Mei lepas, yang bakal menjadi venue sama acara terjun pada temasya Olimpik kali ini.
Rekod pencapaian atlet berusia 28 tahun itu muncul penerjun pertama Malaysia meraih pingat Olimpik apabila merangkul gangsa pada edisi London 2012 dalam acara 10m platform wanita individu, sebelum memperbaikinya dengan pingat perak di Rio 2016 dalam acara 10m platform seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong, turut memberi harapan kepada kontinjen negara dalam meraih emas kali ini.
Namun, ketika tumpuan lebih terarah kepada beberapa atlet dalam menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia pada temasya Olimpik Tokyo, atlet lain juga mampu membuat kejutan meraih pingat andai mereka berada di prestasi terbaik pada temasya kali ini.
Pemenang pingat perak Rio 2016, Peng Soon-Liu Ying dalam acara beregu campuran serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), berpeluang membawa pulang sebutir pingat jika berada pada prestasi terbaik, selain Soniia Cheah (perseorangan wanita) dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) mampu membuat kejutan dalam acara badminton.
Jun Hoong, yang sebelum ini bergelut akibat kecederaan, juga mampu melakar pencapaian membanggakan apabila bakal turun beraksi dalam acara 10 meter platform wanita individu di Tokyo, setelah menjadi satu-satunya penerjun Malaysia yang pernah memecahkan dominasi penerjun China di pentas dunia dalam acara terjun, apabila muncul juara Kejohanan Dunia 2017.
Kemampuan pelumba muda Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang turut beraksi dalam acara keirin dan pecut, juga tidak harus diketepikan.
Bintang dalam pembikinan itu menjadi prospek dalam meraih pingat dan tidak mustahil mampu mencipta kejutan menyumbang emas kepada Malaysia, seperti pernah dilakukannya di beberapa kejohanan antaranya Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia dan Kejohanan Keirin Victoria, apabila muncul juara mengatasi seniornya, Mohd Azizulhasni sebelum ini.
Pemanah negara Khairul Anuar Mohamad juga mampu mencuri tumpuan untuk membawa pulang pingat berdasarkan statusnya selaku naib juara Kejohanan Dunia 2019, namun beliau harus kekal fokus dan konsisten mengharungi cabaran di Tokyo.
Kontinjen Malaysia kali ini turut akan diwakili Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara pelayaran laser lelaki, Nur Shazrin Mohd Latif (laser wanita), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (kedua-duanya acara International 470 wanita); Nur Suryani Mohamed Taib (50m rifle tiga posisi wanita) dan Syaqiera Mashayikh (memanah).
Selain itu, Leong Mun Yee yang akan bergandingan dengan Pandelela dalam acara 10 meter seirama wanita), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee (terjun); Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik); Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga); Gavin Kyle Green, Kelly Tan (golf); serta Welson Sim dan Phee Jinq En dalam acara renang.
Ketika dunia masih berdepan dengan pandemik COVID-19, Sukan Olimpik kali ini bakal berlangsung dengan pelbagai cabaran dan peraturan ketat bermula 23 Julai sehingga 8 Ogos ini.
Dengan kehadiran lebih 10,000 atlet, pegawai dan media dari lebih 200 negara, penganjur menguatkuasakan pelbagai prosedur operasi standard bagi membendung penularan pandemik itu, antaranya mewajibkan ujian calitan COVID-19 kepada setiap peserta terlibat dalam temasya itu, tidak membenarkan kehadiran penonton di stadium, serta mengehadkan pergerakan mereka yang terlibat dalam temasya itu.
Kesemua peraturan itu adalah bagi memastikan Sukan Olimpik Tokyo berlangsung dengan selamat, kerana sehingga kini lebih 70 peserta yang terlibat dalam temasya sukan berkenaan dikesan positif COVID-19.
Pun begitu, biarpun pelbagai cabaran dan normal baharu untuk bersaing pada temasya kali ini, semangat atlet Malaysia tetap membara untuk mengharumkan nama negara, sekali gus merealisasikan impian meraih pingat emas pertama negara pada temasya sukan terkemuka dunia itu.
Malah, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini, turut mengumumkan sasaran kontinjen Malaysia bagi edisi kali ini ialah untuk meraih tiga pingat, termasuk sebutir emas.
Badminton, berbasikal dan terjun – tiga sukan yang menyumbangkan pingat pada edisi lepas di Rio 2016, kekal sebagai prospek utama pingat untuk Malaysia di Tokyo 2020.
Di Rio, Malaysia membawa pulang empat pingat perak dan sebutir gangsa, yang juga merupakan pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan pada Sukan Olimpik.
Apa pun keputusan bakal diperoleh, beraksi di pentas Olimpik sudah tentu menjadi satu kebanggaan dan pencapaian tertinggi, tambahan pula persediaan atlet pada temasya kali ini lebih sukar berbanding sebelum ini apabila tiada atau kurang kejohanan kompetitif sebelum bersaing di Tokyo, selain tidak dapat menjalani latihan secara biasa.
Demi Malaysia, sama-sama kita mendoakan kejayaan atlet negara di Tokyo, terutama dalam misi membawa pulang pingat emas pertama Olimpik!
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.