Sorting by

×

Perjelas status kontrak khas guru KAFA JAIM

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 12 Julai – Mahu memastikan pendidikan agama terus diberi keutamaan, Kerajaan Negeri bertindak proaktif dengan mewujudkan pelantikan secara kontrak khas kepada guru-guru agama di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kewujudan kontrak khas itu bukanlah untuk menganiaya sebaliknya menyelamatkan guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Menurut Rahmad, kontrak khas itu dilaksanakan berikutan Kerajaan Persekutuan telah memansuhkan gred Pembantu Hal Ehwal Islam Gred S11 pada 2019.

“Ia menyaksikan guru-guru JAIM lantikan sebelum tahun 2016 yang telah dilantik bersandarkan kepada gred tersebut tidak dapat dilantik semula. Selepas tempoh itu, guru-guru JAIM dilantik memegang jawatan Pembantu Operasi Gred N11, bagaimanapun pelantikan tersebut tidak diperakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Ia berikutan skop tugasan kerja yang dilaksanakan guru-guru itu tidak berkaitan atau bersesuaian dengan skim dan gred jawatan tersebut selain tidak mencukupi tempoh lapan jam bekerja sehari.

“Kerajaan Negeri kemudiannya telah mengambil tindakan proaktif bagi menjaga kebajikan dan memastikan guru-guru JAIM dapat terus berkhidmat dengan membuat pelantikan secara Kontrak Khas, selain menaikkan elaun perkhidmatan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Rahmad, pelantikan kontrak khas itu melibatkan seramai 1,422 guru SRA JAIM (lantikan sebelum 1 Januari 2023) yang 917 daripadanya yang yang merupakan lantikan sebelum tahun 2016 menerima imbuhan secara pukal mengikut gaji akhir yang diterima.

Manakala baki 505 orang lagi (lantikan 2016-2022) dibayar imbuhan secara pukal RM1,500 sebulan dengan kenaikan bermula Januari tahun ini.

Jelas Rahmad, penyelarasan kontrak khas itu juga terpakai kepada 375 guru Tadika JAIM (lantikan sebelum Januari 2023) di negeri ini.

“Bagi pelantikan baharu guru KAFA JAIM tahun 2023, guru-guru berkenaan pula ditawarkan kontrak dengan kadar elaun permulaan RM1,000 sebulan.

“Bagaimanapun, elaun tersebut akan diselaraskan semula selepas disahkan jawatan dan mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

Tambah Rahmad, dengan penyelarasan baharu itu, elaun yang diterima guru-guru agama di Melaka adalah antara yang tertinggi dalam Malaysia.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cuti bersalin tanpa elaun bagi semua guru-guru JAIM, Rahmad menjelaskan ketetapan itu adalah seperti mana terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pelaksanaan Program Kelas al-Quran dan Fardu Ain Tahun 2022 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4304
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir di Sungai Rambai meningkat
Next post UTeM tawar dua biasiswa baharu
Ubah saiz-+=