Perjanjian kerjasama trilateral disemak semula – Hishammuddin
KUALA LUMPUR, March 27 – Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) akan disemak semula melalui mesyuarat peringkat menteri dengan Filipina dan Indonesia, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hishammuddin berkata beliau akan mengadakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Indonesia Prabowo Subianto dan Filipina Delfin N. Lorenzana sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 yang akan bermula esok.
“Ini adalah kali pertama ketiga-tiga Menteri Pertahanan TCA akan bertemu secara rasmi sejak September 2018 di Manila dan akan menjadi saluran penting untuk berkongsi kebimbangan keselamatan di kawasan maritim bersama antara negara kita untuk ditangani di peringkat Menteri,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan persiapan akhir pameran itu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
TCA diwujudkan untuk menangani ancaman keselamatan maritim di perairan ketiga-tiga negara.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Hishammuddin berkata mesyuarat itu juga akan melibatkan Hamzah dan rakan sejawatannya dari kedua-dua negara yang akan diadakan di luar acara utama, esok.
“Mengenai keselamatan dalam negeri, sudah tentu perbincangan akan diadakan dengan Datuk Seri Hamzah dan rakan sejawatannya mengenai penculikan untuk wang tebusan, keganasan dan memburu mereka yang menggunakan perairan kita yang memerlukan kerjasama tiga negara,” katanya.
Mengenai pameran DSA dan NATSEC Asia 2022, Hishammuddin berkata acara itu akan menjadi isyarat bahawa Malaysia sudah bersedia dan terbuka untuk perniagaan namun, beliau mengakui bukan mudah untuk menganjur acara sedemikian semasa pandemik COVID-19.
“Bagaimanapun persiapan sudah selesai dan kami teruja menantikan esok. Selepas berjaya dilangsungkan selama lebih tiga dekad sejak 1988, penganjuran semula DSA dan NATSEC yang ditunggu-tunggu kali ini akan menjadi acara antarabangsa pertama dan terbesar dihoskan oleh Malaysia ketika kita memasuki peralihan ke fasa endemik bermula 1 April,” katanya.
DSA dan NATSEC Asia 2022 terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, kakitangan kerajaan, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta polis dan agensi penguatkuasaan sahaja.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.