Sorting by

×

Perikanan Melaka batal 500 lesen nelayan ‘ali baba’

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

BATU BERENDAM 18 April – Jabatan Perikanan Negeri Melaka membatalkan sebanyak 500 lesen nelayan selepas didapati ada di antara mereka yang menyewakan lesen kepada individu lain serta tidak turun ke laut bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhammad Akmal Saleh berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan nelayan yang didapati mengamalkan konsep ‘Ali Baba’ ke atas kemudahan bantuan yang diberikan.

“Kita memang memandang berat dan bersikap tegas mengenai lesen nelayan ‘Ali Baba’ dan sejak 2017 sehingga kini sebanyak 500 lesen sudah dibatalkan selepas didapati berlaku perlanggaran syarat lesen.

“Penguatkuasa Jabatan Perikanan ditugaskan untuk melakukan pemantauan ke atas mana-mana lesen yang dilesenkan kepada orang lain tetapi diguna pakai oleh individu lain. Jika ada berlaku salah guna kemudahan, kita tidak akan teragak-agak untuk menarik balik.

“Ini kerana ramai yang memohon untuk mendapatkan lesen tetapi ia sangat terhad. Jadi kalau seseorang itu sudah dapat (lesen) namun tidak menghargainya maka tidak perlulah kita berikan lesen kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bayaran Insentif Sara Hidup Secara One-Off Kepada Nelayan Negeri Melaka yang turut dihadiri Timbalannya Low Chee Leong, di Pejabat Jabatan Perikanan Melaka, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, lesen nelayan yang sudah dibatalkan itu akan digantikan dengan nelayan baharu yang betul-betul memerlukan menerusi sesi temuduga yang dijalankan.

“Lesen nelayan ini membolehkan nelayan menerima insentif bukan sahaja daripada Kerajaan Negeri malah Kerajaan Persekutuan apabila layak menerima elaun bulanan berjumlah RM300,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pada majlis itu seramai 1,155 nelayan menerima insentif sebanyak RM1,000 yang diberikan Kerajaan Negeri dan dibayar secara berperingkat sebanyak empat kali dalam tempoh setahun manakala 53 orang pula menerima Lesen Sampan Khas.

“Untuk hari ini adalah bayaran fasa pertama yang mana dibayar sebanyak RM250 dan tiga bayaran lagi akan dibuat secara berperingkat yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.155 juta.

“Kita tidak bagi semua sekali gus kerana kita faham nelayan ini mereka bermusim, ada musim yang boleh ke laut dan tidak boleh, seperti hari ini musim perayaan jadi kita hendak bantu dan kita beri.

“Untuk pemberian fasa kedua pula kita akan tengok musim angin kuat yang mereka tidak boleh turun ke laut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

918
Kongsi :
Previous post Polis rampas mercun bernilai RM45,000, jual tanpa permit
Next post Jangan guna nama Ketua Menteri untuk dapatkan projek – AB Rauf
Ubah saiz-+=