Sorting by

×

Perhilitan tangkap gajah liar masuk kampung di Jerteh

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

JERTEH, 30 Jan – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menangkap seekor gajah jantan liar di Kampung Padang Tapong, di sini semalam.

Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung gajah liar yang dilihat berkeliaran di sekitar kampung berkenaan sebelum ini.

“Kakitangan Perhilitan Terengganu berjaya menangkap gajah tersebut pada 2.15 petang selepas tidak lama usaha mengesannya dilakukan.

“Gajah jantan dianggarkan berusia 15 tahun dengan berat kira-kira dua tan itu dipercayai datang dari Hutan Simpan Pelagat yang terletak berdekatan kampung itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Loo berkata gajah tersebut dijangka akan dipindahkan dengan bantuan gajah denak yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu, Rabu ini.

Sementara itu seorang penduduk Mohd Zulkifli Ismail, 61, berkata dia berasa lega selepas gajah tersebut berjaya ditangkap oleh Perhilitan.

“Banyak tanaman pisang, nanas, nangka dan getah di kebun saya yang terletak kira-kira 200 meter dari jalan raya di kampung ini dimakan dan dirosakkan haiwan tersebut sejak tiga hari lepas.

“Disebabkan ada gajah berkeliaran, saya juga bimbang untuk ke kebun kerana khuatir ia masih bersembunyi di dalam semak berhampiran,” katanya menambah beberapa kebun penduduk lain turut dimusnahkan gajah liar tersebut termasuk kawasan tanaman kelapa sawit.

Menurut beliau, sebelum ini gajah berkenaan juga didapati pernah menghampiri kawasan perumahan, Taman Saujana yang terletak berdekatan kampung tersebut.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1316
Kongsi :
Previous post Bot: Aset baharu Bernama tingkat kualiti liputan berita
Next post SMTrack nafi dakwaan terlibat dalam projek RFID
Ubah saiz-+=