Sorting by

×

PERHILITAN SELANGOR PASANG PERANGKAP BUAYA DI TASIK SHAH ALAM

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SHAH ALAM, 4 Sept – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memasang dua perangkap di Tasik Shah Alam Seksyen 7 di sini bagi menangkap buaya tembaga yang muncul di kawasan rekreasi itu sejak beberapa hari lepas.

Pengarah Perhilitan Selangor Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata berdasarkan pemantauan, pihaknya hanya mengesan kehadiran seekor buaya dengan ukuran kira-kira 1.5 meter dan telah mengenal pasti laluan aktif reptilia itu.

Beliau berkata sangkar seberat kira-kira 200 kilogram (kg) setiap satu itu dipasang di laluan pertama dan kedua di seberang tebing tasik yang dikenal pasti sebagai laluan utama buaya.

“Berdasarkan perilaku buaya ini, pergerakannya tidak berapa jauh dari tebing iaitu kira-kira tiga atau empat meter dan kita menggunakan perangkap terapung berumpankan ayam bagi menangkap haiwan itu.

Dari segi anggaran masa dapat diperangkap, ia bergantung kepada perilaku reptilia itu dan juga keadaan sekeliling,” katanya ketika ditemui di lokasi pemasangan perangkap di sini hari ini.

Wan Mohd Adib berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut memberi kerjasama dengan memasang jaring di lima saluran air bagi mengelak buaya berkenaan terlepas sekali gus menggagalkan operasi berkenaan.

“Tempat ini pun kawasan tumpuan awam, jadi kami berharap operasi ini berakhir dengan segera,” katanya.

Semalam, MBSA dalam kenyataan meminta orang ramai yang ingin beriadah di kawasan itu supaya berhati-hati dengan kehadiran buaya berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

82
Kongsi :
Previous post PALSUKAN TUNTUTAN PERKESO: TIGA DOKTOR ANTARA DIREMAN BANTU SIASATAN
Next post JPJ MELAKA BUKA PELUANG SEKOLAH BEKERJASAMA TINGKATKAN KESELAMATAN JALAN RAYA
Ubah saiz-+=