Perhilitan pasang perangkap harimau

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

DUNGUN, 16 Mac – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu memasang perangkap harimau di sekitar ladang sawit dekat Hulu Paka di sini, hari ini.

Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata ia susulan aduan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Hulu Paka mengenai kehadiran ‘pak belang’ itu di sekitar kawasan tersebut pagi semalam.

“Kita telah menjalankan siasatan di lokasi dan mendapati aduan tersebut benar dan kita berharap harimau belang itu akan dapat dijejak secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ditanya sama ada harimau belang tersebut adalah harimau yang sama didakwa cuba menerkam seorang penghantar makanan baru-baru ini, Loo berkata tiada petunjuk mengenai perkara tersebut setakat ini.

Pada 9 Mac lepas, seorang penghantar makanan mendakwa nyaris diterkam harimau belang di Taman Bersekutu di sini ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya pada 8.40 malam.

Beberapa hari selepas itu, tular pula menerusi media sosial dua video mengenai harimau belang yang dikatakan dirakam di ladang sawit dekat Durian Mas.

Rakaman berdurasi 30 saat dan 26 saat itu dipercayai dirakam dari dalam kenderaan dan mendapat pelbagai reaksi warganet yang bimbang terhadap keselamatan orang ramai serta risiko pemburu haram kerana video tersebut turut mendedahkan lokasi harimau itu berada.

Dalam pada itu, Loo mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang tindakan provokasi sekiranya terserempak dengan harimau bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Perkara paling penting ialah laporkan kepada Perhilitan, lebih cepat lebih bagus untuk kita mengesan harimau itu, bukannya dimuat naik ke mana-mana media sosial.

“Jangan sesekali berada lama di sekitar harimau tersebut untuk mengambil gambar video, kenal pasti lokasi dan segera laporkan kepada Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1641
Kongsi :
Previous post Sasar 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik di Malaysia menjelang 2025
Next post MPHTJ buka 11 Bazar Ramadan, Aidilfitri tahun ini
Ubah saiz-+=