PERHILITAN PANTAU BUAYA ‘VIRAL’ DI KAMPUNG MORTEN

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Oktober – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri akan melakukan pemantauan bagi meninjau seekor buaya tembaga yang dikatakan muncul di Sungai Melaka berhampiran Kampung Morten, di sini.

Kelibat ‘sang bedal’ itu tular apabila aksinya membaham biawak dirakam pengguna media sosial yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah PERHILITAN negeri, Alfiesyahril Anewar Ahmad berkata, susulan itu sekumpulan lapan anggota jabatan itu sudah ke lokasi di mana reptilia itu muncul.

“Kita akan terlebih dahulu mengenal pasti kedudukan buaya itu sebelum tangkapan dibuat justeru itu lapan anggota sudah turun ke lokasi.

“Kita akan meninjau pergerakan reptilia itu yang didakwa kerap muncul di kawasan pintu gerbang Kampung Morten sebelum membuat tangkapan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengenal pasti dua kaedah untuk menangkap buaya terbabit iaitu pemasangan jaring dan memancing.

“Dua kaedah ini dilihat lebih praktikal berbanding memasang perangkap kerana di situ adalah laluan bot.

“Itik hidup akan dijadikan umpan untuk memancing reptilia itu dan sekiranya kaedah ini tidak berkesan barulah kita akan menggunakan perangkap namun ia perlu diletakkan di lokasi yang sesuai,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan aduan daripada penduduk kampung, reptilia itu dikatakan sering muncul di kawasan itu sejak dua bulan lalu dan berdasarkan video berat buaya terbabit dianggarkan kira-kira 30 kilogram.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

98
Kongsi :
Previous post SEGERAKAN PEMBERSIHAN, PENYELENGGARAAN LONGKANG
Ubah saiz-+=