PERHEBAT PROGRAM KESEDARAN KANSER KANAK-KANAK

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

REMBIA 28 September – Program Kesihatan dan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak perlu diperhebat bagi mendidik dan meningkatkan kefahaman komuniti tentang penyakit yang disifatkan sebagai ‘pembunuh senyap’ itu.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program seumpamanya perlu diperbanyakkan memandangkan kanser membabitkan golongan kanak-kanak direkodkan meningkat saban tahun.

Justeru, beliau berkata, setiap agensi berkaitan disaran untuk terus proaktif dalam penganjuran program kesedaran kanser bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat di luar bandar.

“Berdasarkan ringkasan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR), terdapat 4,408 kes kanser yang membabitkan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah dari tahun 2007 hingga sekarang.

“Sehubungan dengan itu, program yang diadakan ini bertujuan untuk memberi tumpuan kepada pendidikan kesihatan terutamanya kesedaran terhadap kanser kanak-kanak yang kurang diberi penekanan oleh masyarakat.

“Melalui pengesanan awal kanser kanak-kanak, ia dapat mengurangkan morbiditi dan mortaliti yang berkaitan dengan rawatan. Lebih-lebih lagi, dalam kalangan penduduk luar bandar di mana ekonomi sosial merupakan faktor penting yang merumitkan lagi rawatan,” katanya.

Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesihatan dan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak di Dewan Terbuka Taman Samarinda, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah (Perubatan) Pakar Perunding Kanan Pediatrik Hematologi dan Onkologi Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Prof. Dr. Hamidah Alias; Pengerusi Program, Prof Madya Dr. Farinawati Yazid serta tetamu lain.

Program yang diadakan bersempena Bulan Kesedaran Kanser Kanak-Kanak itu dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 1,000 penduduk setempat.

Pelbagai acara menarik diadakan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, antaranya pemeriksaan pengesanan awal kanser badan lazim dan mata; pemeriksaan tahap nutrisi, selain pertandingan mewarna, pameran serta pelbagai lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

41
Kongsi :
Previous post MELAKA SMART PARKING LEBIH MUDAH, EFISIEN
Next post DEWAN SELERA, KAFETERIA MRSM TERENDAK DIARAH TUTUP DUA MINGGU
Ubah saiz-+=