Sorting by

×

‘Perdana Menteri tak lupa orang kampung’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LINGGI 31 Mac – Meskipun tidak berkelapangan untuk turun padang, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap prihatin terhadap kebajikan golongan kurang berkemampuan dan asnaf seluruh negara.

Perdana Menteri dibantu setiausaha politik yang mewakili beliau untuk menyantuni, menyampaikan bantuan dan mendengar sendiri denyut nadi rakyat termasuk di kawasan luar bandar serta pedalaman.

Terbaharu Perdana Menteri menerusi setiausaha politik beliau, Datuk Azman Abidin menyantuni 200 asnaf di Parlimen Masjid Tanah pada Majis Berbuka Puasa & Penyerahan Sumbangan Perdana Menteri di Masjid Al-Hasaniah, Kuala Sungai Baru, semalam.

Azman berkata, sumbangan wang tunai dan kit Aidilfitri itu diharap dapat menceriakan asnaf dan meringankan beban mereka dalam membuat persediaan menyambut lebaran tidak lama lagi.

“Alhamdulillah saya berpeluang mewakili Perdana Menteri untuk menyampaikan sumbangan dan menyantuni penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Tanjung Bidara serta Ayer Limau.

“Sebenarnya kami setiausaha politik ditugaskan untuk menyantuni golongan memerlukan bukan sahaja di kawasan tertentu, tetapi seluruh negara. Sebelum ini saya sendiri ke Sabah, Sarawak dan Terengganu, kali ini sempena Ramadan saya berpeluang untuk sampaikan sumbangan Perdana Menteri di Negeri Melaka.

“Saya harapkan sumbangan Perdana Menteri ini dapat menceriakan penerima, kerana ramai dalam kalangan mereka ini adalah suri rumah dan nelayan yang tidak ada pendapatan tetap,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Hadir sama pada majlis itu Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Menurutnya, selain menerima bantuan tunai RM300 dan kit Aidilfitri, penerima juga diraikan pada majlis berbuka puasa di perkarangan Masjid Al-Hasaniah.

Terdahulu Azman turut menyertai ziarah kasih ke empat kediaman di DUN Tanjung Bidara dan Kuala Linggi bagi menyampaikan sumbangan kepada pesakit kanser, warga emas uzur dan ibu tunggal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

142
Kongsi :
Previous post Koperal polis cedera dilanggar mat rempit
Next post Peniaga Cina puji kepimpinan Ab Rauf
Ubah saiz-+=