Percubaan zon bebas kenderaan setiap Sabtu
AYER KEROH 16 Ogos – Fasa percubaan ‘Car free zone’ atau zon bebas kenderaan di kawasan tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir, akan dilaksanakan bermula 19 Ogos (Sabtu) ini, dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, perintis pelaksanaan itu membabitkan penutupan laluan sepanjang 2.3 kilometer.
Katanya, sepanjang tempoh percubaan itu laluan di Bangunan Merah, hadapan Menara Taming Sari dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan akan ditutup mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Hanya dua laluan ditutup, untuk sementara waktu. Kita hanya laksanakan enam jam sahaja dan ini hanya satu tempoh percubaan untuk lihat sambutan masyarakat. Pelaksanaan ini juga tidak membabitkan pemindahan peniaga, mereka boleh beroperasi seperti biasa.
“Ini adalah antara insiatif dilaksanakan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka untuk kita tunjukkan kepada mayarakat apa sebenarnya yang kita mahu lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Bil 5/2023 dan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBMB Tahun 2023 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd Zin; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ketua Ahli Majlis MBMB, Clr, Abd Razak Abu dan Setiausaha MBMB, Ahmad Azlan Ahmad Salleh.
Rais turut menasihat peniaga di kawasan terlibat agar merancang operasi mereka, bagi mengelakkan sebarang kesulitan selepas penutupan laluan dilaksanakan.
“Jika ada kenderaan untuk hantar barang diminta agar laksanakan lebih awal. Kita juga dalam usaha untuk menyediakan ‘buggy’ bagi memudahkan pelancong berkunjung ke kawasan ini.
“Selain itu aspek lain yang dilihat ada kekurangan juga akan ditambahbaik dari semasa ke semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.