PERCUBAAN SEBULAN ‘NO RIGHT TURN’ DI JALAN SYED ABDUL AZIZ
DUYONG 19 Januari – Tempoh percubaan penyuraian trafik bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di Jalan Syed Abdul Aziz dan Persimpangan Mahkota Parade akan dilaksanakan dalam masa sebulan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata pelaksanakan percubaan ‘No Right Turn’ itu telah bermula pada 17 Januari dan dijangka akan berlarutan sehingga 18 Februari depan.
Hasil pemerhatian MBMB, jelasnya pelaksanaan itu berkesan dan mengelakkan trafik sesak di kawasan terbabit.
“Setakat 18 Januari, kita melihat tiada kesesakan berlaku, semuanya berjalan lancar di mana lebih 30,000 kenderaan yang masuk ke kawasan Banda Hilir pada hari ini dan tiada kesesakan.
“Ini merupakan kejayaan dan saya rasa wajar untuk diteruskan, tempoh percubaan ini kita laksanakan sepanjang tempoh cuti sekolah ini
“Kalau tempoh percubaan ini berjaya kita akan teruskan, setakat ini memang ada komen-komen untuk ditambah baik, dan kita akan perbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Perasmian Program “2025 Camper Rally Melaka” yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini malam tadi.
Untuk rekod, MBMB turut memaklumkan trafik dari Jambatan Syed Abdul Aziz dibenarkan membuat pusingan ‘U’ untuk ke Mahkota Parade dan Dataran Pahlawan.
Manakala trafik dari arah Dataran Pahlawan/Mahkota Parade tidak dibenarkan belok ke kanan ( No Right Turn ) dan trafik dari arah Element Mall juga tidak dibenarkan belok kanan ( No Right Turn ).
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan serta berhati-hati dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.